suria

Korban insiden SUV terhumban ke laut disemadikan, siasatan kemalangan belum lengkap

Ahli keluarga dan rakan-rakan memberi penghormatan terakhir kepada Moey.

ABU mayat Moey Yun Peng yang maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya terhumban ke dalam laut selepas terlibat dalam kemalangan awal pagi Ahad lepas, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Cina Berapit, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Mayat mendiang Moey dibawa tiba di tanah perkuburan itu kira-kira pukul 11.30pagi dan disusuli upacara keagamaan sebelum mayat dimasukkan ke dalam tempat pembakaran kira-kira 15 minit kemudian.

Suasana pilu menyelubungi krematorium itu sebaik sahaja jasad mendiang ditolak masuk ke dalam tempat pembakaran dan anggota keluarga serta rakan mendiang dilihat menangis serta memanggil-manggil nama si mati.

Proses pembakaran itu mengambil masa kira-kira dua jam sebelum abunya disemadikan di tanah perkuburan berkenaan.

Terdahulu, kira-kira 200 orang anggota keluarga dan rakan mendiang Moey melakukan upacara keagamaan dan penghormatan terakhir di rumah mendiang di Taman Kempas, Butterworth.

Sementara itu, polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kemalangan tersebut.

Kereta SUV yang dipandu Moey berjaya dinaikkan petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid berkata pihaknya sedang mengumpul beberapa lagi maklumat dan data bagi melengkapkan kertas siasatan yang dijangka dapat disiapkan tidak lama lagi.

"Selain itu, polis juga masih lagi menunggu keputusan ujian darah dan alkohol pemandu Toyota Vios yang turut terlibat dalam kemalangan berkenaan. Selepas semuanya lengkap kami akan serahkan kertas siasatan itu ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya," katanya di Bukit Mertajam.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu kereta langgar SUV terhumban ke laut bebas dengan jaminan polis

Katanya sehingga hari ini polis telah merekodkan keterangan daripada 16 orang individu termasuk pemandu kereta Toyota Vios berusia 21 tahun itu, selain saksi awam, anggota keluarga dan rakan-rakan mangsa.

Kereta Toyota Vios itu dikatakan telah berlanggar dengan SUV jenis Mazda CX-5 itu sebelum SUV berkenaan hilang kawalan dan terhumban ke dalam laut di Kilometer 4, Jambatan Pulau Pinang kira-kira pukul 2.54 pagi Ahad lepas.

SUV berkenaan hanya berjaya diangkat keluar dari laut pada Selasa lepas dan mayat pemandunya yang dikenal pasti sebagai Moey Yun Peng, 20, seorang pelajar kolej swasta di George Town ditemui tersepit di tempat duduk pemandu kenderaan itu.

Nik Ros Azhan berkata polis tidak menolak kemungkinan untuk memanggil semula pemandu kereta Toyota Vios itu jika ada keperluan untuk berbuat demikian.

Menurutnya pemandu kereta itu dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira pukul 6.45 petang Rabu selepas keterangannya berhubung kemalangan itu diambil.

Beliau berkata Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) turut terlibat untuk mengumpul data-data berkaitan dengan kemalangan tersebut di lokasi kejadian itu pagi Khamis. - BERNAMA

Artikel Lain