suria

Larangan merokok di premis makanan di Sarawak bermula 1 Mac depan

SARAWAK akan melaksanakan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di negeri itu berkuatkuasa 1 Mac depan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Dr Sim Kui Hian berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet pada Khamis dengan mengambil kira kesihatan orang ramai.

"Namun dengan kelulusan pihak berkuasa tempatan, pengendali berlesen mungkin boleh mewujudkan kawasan merokok sejauh tiga meter dari kedai makan.

"Malah ia menjadi tanggungjawab pemilik premis untuk memastikan kawasan mereka kelihatan bersih sepanjang masa," katanya dalam satu kenyataan di Kuching.

Dr Sim juga berkata Kabinet negeri itu turut bersetuju enam bulan pertama bermula 1 Mac sebagai tempoh penguatkuasaan pendidikan.

"Tiada kompaun akan dikenakan sepanjang tempoh itu," katanya.

Pada Oktober lepas, Kementerian Kesihatan mengumumkan larangan merokok di semua restoran, kopitiam dan pusat penjaja, malah tempat makan di ruang terbuka, di seluruh negara, berkuat kuasa awal tahun ini.

Mereka yang didapati merokok di kawasan larangan akan didenda sehingga RM10,000 atau berdepan hukuman penjara dua tahun manakala premis makan yang didapati membenarkan pelanggan mereka merokok akan dikenakan hukuman denda maksimum RM2,500. - BERNAMA

merokok, restoran

Artikel Lain