suria

KSM bintang kebesaran paling diminati Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad melambaikan tangan ke arah para penyokongnya ketika tiba di Sungai Koyan bagi menghadiri program perjumpaan bersama warga Sungai Koyan di Dataran Sungai Koyan 1, Lipis, Jumaat.

“BINTANG Kebesaran yang paling saya minati ialah KSM, Kerja Sampai Mati,” kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, sambil berseloroh.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, yang melakar sejarah apabila mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kali kedua pada 10 Mei lepas susulan kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum ke-14, berkata selagi ada hayat, beliau akan terus cuba memperbetulkan keadaan dalam negara.

Beliau menegaskan khidmatnya untuk negara bukan kerana duit, sebaliknya kerana sayang kepada negara.

"Ini negara kita, kita dilahir di sini, dibesar di sini, berkahwin di sini, dapat anak di sini dan anak kita dapat banyak manfaat daripada negara ini.

"Tak sayangkah kita kepada negara kita ini?" katanya di hadapan ribuan pengundi Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands di Sungai Koyan, Kuala Lipis, Jumaat.

Turut hadir Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Mohamad Sabu dan calon PH bagi PRK berkenaan M Manogaran.

Dr Mahathir pertama kali dilantik menjadi perdana menteri keempat pada 1981 sewaktu berumur 56 tahun sebelum meletakkan jawatan pada 2003, setelah menerajui tampuk pimpinan negara selama 22 tahun.

Berumur 93 tahun, Dr Mahathir turut mencipta sejarah apabila menjadi perdana menteri tertua di dunia dengan kembali ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya setelah 15 tahun meletakkan jawatan pada 2003.

Dr Mahathir berkata baginya, darjah kebesaran lain tidak lagi begitu membawa erti.

"Selagi boleh bercakap saya bercakap, dah 93 tahun dah, tak berapa banyak tinggal (masa), nak buat kerja sampai mati, bintang-bintang lain tak elok (bagi saya) yang elok ialah KSM, itu bintang yang saya minati," katanya.

Sebaik selesai berucap, Dr Mahathir bersama-sama pemimpin Muslim yang lain menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, di sini.

Selesai solat, beliau beramah mesra bersama jemaah masjid sebelum pulang ke Kuala Lumpur menaiki helikopter.-- Bernama

KSM, Mahathir

Artikel Lain