suria

Minta maaf... pemandu Toyota Vios sedih rakan terbunuh

Kereta Vios yang terbabit dalam kemalangan di jambatan Pulau Pinang.

PEMANDU kereta Toyota Vios terlibat dalam pelanggaran dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terhumban ke laut Ahad lepas menangis apabila mengetahui pemandu SUV yang juga rakannya itu maut dalam kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid pada Jumaat berkata, pemandu berusia 21 tahun kelihatan sedih selepas diberitahu polis tentang kematian Moey Yun Peng, 20, dalam kejadian pukul 2.54 pagi itu.

Moey, 20, maut selepas SUV yang dipandunya terhumban ke laut selepas berlanggar dengan kereta Vios dipandu lelaki itu di Kilometer 4, Jambatan Pulau Pinang menghala ke Perai.

“Selepas keadaan dia semakin baik ekoran menerima rawatan di hospital, kami memaklumkan kepadanya tentang apa yang telah berlaku kepada rakannya, dia terus kelihatan sugul dan sedih,” katanya kepada Bernama di Bukit Mertajam.

Lelaki yang bekerja sebagai pendandan rambut di sebuah salon milik ibunya itu turut meminta maaf beberapa kali kerana merasakan kemalangan itu berlaku disebabkan keretanya hilang kawalan dan melanggar SUV rakannya.

“Lelaki itu juga ada memaklumkan yang dia bersedia untuk menerima sebarang hukuman dari mahkamah akibat kemalangan itu,” katanya.

Lelaki itu ditahan polis selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah SPT pukul 2 pagi Rabu lepas namun dia dibebaskan dengan jaminan polis pukul 6.45 petang hari yang sama selepas keterangannya diambil.

Sementara itu, Nik Ros Azhan berkata, kertas siasatan berhubung kejadian kemalangan itu dijangka siap selewat-lewatnya Isnin ini dan hanya menunggu laporan kimia kandungan alkohol dan dadah pemandu Toyota Vios berkenaan.

"Kami percaya kertas siasatan kes itu dapat dilengkapkan dalam tempoh terdekat sebelum menyerahkannya kepada pejabat pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata, kemalangan itu disiasat menurut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan maut. - Bernama

Artikel Lain