RAKYAT Malaysia dinasihatkan untuk menangguhkan sebarang perjalanan yang tidak penting ke Calayan di Cagayan, Filipina memandangkan situasi masih belum stabil ekoran gempa bumi yang melanda kawasan itu pada Khamis, kata Wisma Putra. Wisma Putra dalam kenyataan pada Jumaat berkata, tiada rakyat Malaysia dilaporkan mengalami kecederaan atau terkesan secara langsung akibat gempa bumi dengan kekuatan 5.5 pada skala Richter yang melanda kawasan Calayan itu, Khamis. "Rakyat Malaysia yang melawat atau tinggal di kawasan tersebut dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan semasa serta laporan cuaca tempatan,” katanya. Rakyat Malaysia juga dinasihatkan untuk mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan. Wisma Putra berkata rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular dinasihatkan untuk menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Manila atau Konsulat Jeneral Malaysia di Davao, Mindanao. - Bernama