suria

Sifat rendah diri, kesederhanaan Tengku Hassanal curi hati rakyat

NAMA dan gambar Tengku Panglima Besar Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah mula tular di media sosial dan menjadi perhatian umum selepas ayahandanya Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dimasyhurkan menjadi Sultan Pahang keenam pada 15 Januari lalu.

Raut wajahnya yang tenang dengan senyum tidak lekang dari bibirnya dalam setiap potret yang dirakamkan, mencuri perhatian netizen lebih-lebih lagi apabila Tengku Hassanal bakal menjadi Waris Ganti untuk negeri Pahang seperti diumumkan oleh Sultan Abdullah pada 22 Januari.

Pada 29 Januari ini, Tengku Hassanal akan dimasyhurkan sebagai Tengku Mahkota Pahang yang baharu dalam  satu istiadat di Balairung Seri Istana Abu Bakar, Pekan.

Tengku Hassanal yang diputerakan pada 17 September 1995 di Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini sedang melanjutkan pengajian di Akademi Tentera Diraja Sandhurst di United Kingdom selama setahun.

Menurut Ketua Penyelidik Pejabat Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang juga pengkaji institusi monarki Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain, pelantikan itu selaras dengan sistem pewarisan takhta menurut prinsip patrilineal yang diamalkan oleh kesemua sembilan negeri beraja di Malaysia.

Menurut prinsip itu calon Waris Ganti yang dikenali dengan gelaran Tengku Mahkota, Tunku Mahkota, Raja Muda atau Yang Dipertuan Muda biasanya ditentukan berdasarkan nasab sebelah lelaki seseorang raja yang sedang memerintah.

Tambah beliau, ia tertakluk kepada peruntukan undang-undang tubuh di setiap negeri tersebut, Waris Ganti dilantik dari kalangan putera raja pemerintah atau saudara lelaki raja pemerintah berdasarkan keutamaan-keutamaan tertentu.

“Dalam konteks negeri Pahang, urusan pelantikan Waris Ganti dinyatakan dalam Bab III, Bahagian Pertama, Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang di mana Perkara 20(1) memperuntukkan bahawa Raja Pemerintah, setelah berunding dengan Jumaah Pangkuan Diraja Negeri, boleh melantik seseorang menjadi Waris Ganti yang akan digelar Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota, atau dengan apa-apa gelaran lain sebagaimana yang harus ditetapkan, dan Waris Ganti ini adalah menjadi Waris Takhta Kerajaan Pahang.

“Meneliti sejarah Kesultanan Pahang moden yang bermula pada 6 Ogos 1882 apabila Bendahara Siwa Raja Tun Ahmad ibni Almarhum Bendahara Siwa Raja Tun Ali dimasyhurkan sebagai Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah, pelantikan Waris Ganti dibuat dari kalangan putera raja yang sedang bertakhta,” katanya.

Waris Ganti

Menurutnya apabila Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah mangkat pada 9 Mei 1914, maka putera sulung baginda iaitu Tengku Mahmud yang bergelar Tengku Besar telah dilantik sebagai Sultan Pahang kedua.

Bagaimanapun, Sultan Mahmud yang mangkat pada 19 Jun 1917 tidak meninggalkan putera dan kerabat diraja telah sepakat memilih adinda baginda yang tertua iaitu Tengku Abdullah ibni Almarhum Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah sebagai Sultan Pahang ketiga dengan gelaran Sultan Abdullah Al-Muktasim Billah.

 “Semasa zaman pemerintahannya, Sultan Abdullah Al-Muktasim Billah telah menyusun semula adat istiadat negeri Pahang dan mewujudkan beberapa pangkat gelaran termasuklah gelaran Tengku Mahkota kepada putera sulung baginda iaitu Tengku Abu Bakar sebagai Waris Ganti selain gelaran Tengku Arif Bendahara kepada putera kedua baginda iaitu Tengku Mahmud dan Tengku Arif Temenggong kepada putera ketiga baginda iaitu Tengku Abdul Aziz,” katanya.

Berikutan kemangkatan Sultan Abdullah al-Muktasim Billah pada 22 Jun 1932, katanya takhta kerajaan Pahang diwarisi Tengku Abu Bakar yang kemudiannya ditabalkan sebagai Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Muadzam Shah pada 28 Mei 1933.

Sultan Abu Bakar seterusnya telah mengurniakan gelaran Tengku Mahkota Pahang kepada putera sulung baginda iaitu Tengku Ahmad Shah pada 25 Mei 1944 dan  dimasyhurkan pada 29 Mei 1949.

“Al-Sultan Abdullah yang dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam ialah putera sulung hasil perkongsian hidup Tengku Ahmad Shah yang kemudiannya menjadi Sultan Pahang kelima pada 5 Mei 1974 dengan gelaran Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dengan Almarhumah Tengku Ampuan Afzan Tengku Muhammad,” katanya.

Menurut Wan Nazrul Helmy yang juga anak jati Bandar Diraja Pekan, rakyat Pahang sesungguhnya amat bertuah kerana bukan sahaja dapat menyaksikan Istiadat Pemasyhuran Sultan Pahang keenam pada 15 Januari lalu malah juga berpeluang mengikuti perkembangan pelantikan Tengku Mahkota Pahang yang baharu sebagai Waris Ganti.

Tengku Mahkota Pahang

Pelantikan Tengku Mahkota Pahang kali terakhir dibuat pada 1 Julai 1975 apabila Sultan Abdullah yang ketika itu berusia 16 tahun dikurniakan gelaran tersebut oleh paduka ayahanda baginda sebelum dimasyhurkan pada 23 Okt 1977 di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Pekan.

Menurutnya, atur cara adat istiadat pemasyhuran Tengku Mahkota Pahang terdahulu yang berlangsung selama empat hari mulai 20 hingga 23 Oktober 1977 mengandungi beberapa upacara iaitu Istiadat Meletak Kerja, Istiadat Bersiram, Istiadat Santap Nasi Adap-adapan, Istiadat Pemasyhuran dan seterusnya Istiadat Menutup Kerja.

Menyentuh tentang keperibadian Tengku Hassanal sendiri, Wan Nazrul Helmy menyifatkan putera hasil perkongsian hidup Sultan Abdullah dan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah itu menerima pendidikan dan latihan sebagaimana ayahandanya dididik oleh Sultan Ahmad Shah semasa menjadi Tengku Mahkota dahulu,

Tengku Hassanal mempunyai Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Hubungan Antarabangsa (BA- IR) selepas tiga tahun menuntut di The Geneva School of Diplomacy and International Relation (GSD), Switzerland.

“Tengku Hassanal ketika ini sedang mengikuti latihan ketenteraan di Akademi Tentera Diraja Sandhurst di United Kingdom, iaitu akademi sama yang pernah dihadiri Al-Sultan Abdullah sehingga melayakkan baginda ditauliahkan sebagai Leftenan Muda oleh Ratu Elizabeth pada 1980,” katanya.

Ibarat kemana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, Tengku Hassanal juga mewarisi sifat rendah diri dan kesederhanaan Sultan Abdullah apabila juga sering kelihatan sembahyang berjemaah di masjid sekitar Kuantan tanpa sebarang protokol yang ketat.

Katanya asuhan Sultan Abdullah dan Tengku Puan Pahang dalam mendidik Tengku Hassanal dilihat berjaya membentuk keperibadiannya menjadi seorang putera raja berjiwa rakyat sama seperti ayahanda dan nendanya Sultan Ahmad Shah bagi meneruskan kesinambungan prinsip keluarga diraja ini ‘Raja dan Rakyat Berpisah Tiada'.-- Bernama






Artikel Lain