SKIM Peduli Kesihatan (PeKa B40) merangkumi inisiatif pemeriksaan kesihatan percuma khusus untuk penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) berusia 50 tahun ke atas dijangka bermula Mac ini. Projek perintis PeKa B40 melibatkan peruntukan awal sebanyak RM100 juta itu menyasarkan 800,000 penerima BSH serta pasangan masing-masing. Fokus utama skim ini adalah melakukan saringan kesihatan pengesanan awal penyakit tidak berjangkit (NCD) yang belum didiagnos terhadap kumpulan sasar terbabit. Keseluruhannya terdapat 3.94 juta penerima BSH yang berusia 50 tahun ke atas, sekali gus layak untuk menerima tawaran menerusi skim ini. Bagaimanapun, projek awal ini memfokuskan kepada 800,000 penerima bantuan berkenaan. Daripada jumlah itu, lebih 50 peratus atau hampir dua juta adalah penerima BSH dalam kategori NCD yang belum didiagnos. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sebagai permulaan, projek perintis ini dilaksanakan berdasarkan konsep first come, first served untuk seramai 800,000 penerima BSH. Datuk Seri Dzulkefly Ahmad melancarkan Skim Peduli Sihat (PeKa B40) di Putarajaya. "Empat teras utama menerusi skim ini adalah saringan kesihatan percuma; insentif RM1,000 diberikan kepada pesakit yang melengkapkan rawatan kanser di hospital kerajaan; insentif tambang pengangkutan dengan had maksimum RM500 bagi Semenanjung dan RM1,000 di Sabah dan Sarawak untuk setiap penyakit. "Satu lagi teras adalah bantuan alat perubatan dengan had maksimum RM20,000 seumur hidup melibatkan stent untuk jantung, alat sendi tiruan, alat bantuan pendengaran, perentak jantung, prostesis dan implan untuk tulang belakang, prostesis dan ortosis tulang anggota, kanta mata intraokular, alat terapi pernafasan dan oksigen concentrator dan bantuan sokongan nutrisi serta kerusi roda," katanya pada majlis pra pelancaran skim berkenaan di Kementerian Kesihatan, Putrajaya, Isnin. Dzulkefly berkata, proses saringan melibatkan klinik swasta dan data terperinci berkaitan lokasinya akan dimuat naik menerusi laman web PeKa B40 sepenuhnya mulai Mac ini. “Saringan ini termasuklah pemeriksaan kesihatan mental, klinikal payudara, klinikal prostat dan pengesanan penyakit mental," katanya. Dzulkefly berkata, PeKa B40 ini saling melengkapi skim mySalam yang memberi perlindungan insurans kepada penerima BSH berusia 18 hingga 55 tahun dan baru menghidap salah satu daripada 36 penyakit kritikal.