MENTERI Pengangkutan Anthony Loke antara beberapa individu yang membuat penampilan dalam klip video mempromosikan kempen keselamatan di jalan raya sempena sambutan Tahun Baru Cina yang akan datang. Video berdurasi lima minit itu turut menampilkan beberapa artis tempatan seperti Adibah Noor mempersembahkan sebuah lagu berjudul 'Play Your Role', dengan mengingatkan orang ramai supaya mematuhi peraturan keselamatan semasa di jalan raya. Terdapat beberapa adegan yang menyaksikan Adibah menegur pengguna kenderaan yang menggunakan telefon bimbit semasa di jalan raya. Video tersebut dilancarkan bersempena pelancaran kempen keselamatan jalan raya dan ops bersepadu di Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Dengkil, Sepang pada Selasa. Turut kelihatan dalam video tersebut termasuklah Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamaruddin Jaafar, Pengerusi Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) Anthony Lee, Pengerusi Persatuan Takaful Malaysia Muhammad Fikri Mohamad Rawi dan Usahawan Keselamatan Kanak-Kanak Mark Lim.