suria

Pahang cuti peristiwa esok

Cuti peristiwa itu diisytiharkan bagi memperingati tarikh bersejarah pada Khamis yang menyaksikan Sultan Pahang menaiki takhta Yang di-Pertuan Agong.

PAHANG mengumumkan cuti peristiwa pada Khamis sempena Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan oleh Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri pada Rabu setelah mendapat perkenan Sultan Abdullah.

"Cuti peristiwa ini memandangkan ia tarikh penuh bersejarah kepada negeri dan seluruh rakyat jelata Pahang dengan pelantikan Sultan Pahang sebagai Yang di-Pertuan Agong," katanya pada sidang media di Wisma Sri Pahang dekat Kuantan.

Wan Rosdy berkata, keputusan untuk mengumumkan cuti peristiwa itu juga bersesuaian memandangkan kali terakhir detik bersejarah seumpama itu berlaku ialah kira-kira empat dekad lepas, apabila Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-7 pada 1979.

Menurut Wan Rosdy, pengumuman itu juga sebagai terjemahan kepada rasa kesyukuran dan kegembiraan yang amat sangat oleh Kerajaan Negeri dan rakyat jelata atas pemilihan Sultan Pahang sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru seluruh penjawat awam dan rakyat jelata untuk hadir bersama-sama di Pangkalan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) Kuantan pada 7.00 pagi Khamis bersempena Istiadat Memuliakan Keberangkatan Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Maimunah Iskandariah.

Pada Khamis, Sultan Abdullah dijadual berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-252 (Khas) sempena Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 diikuti perisytiharan memegang jawatan oleh Seri Paduka Baginda yang akan bertakhta bagi tempoh lima tahun berkuatkuasa 31 Januari 2019.

Baginda menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuatkuasa 6 Januari selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 13 Disember 2016.

Pada istiadat sama, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah juga akan melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong, bagi tempoh sama. - BERNAMA

Pahang, cuti peristiwa

Artikel Sebelum

Artikel Lain