SULTAN Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 adalah seorang raja yang pendiam dan tidak cerewet sejak zaman muda lagi. Pegawai Khas dan Protokol baginda, Datuk Abd Rahman Endut berkata Sultan Abdullah juga tidak mudah murka namun tidak gemar sikap orang membodek serta mengadu domba. "Tuanku lebih suka diam. Jika ada perkara yang perlu diketahui dengan mendalam, baginda akan memanggil individu terlibat ke pejabat kerana mahu menjaga air muka orang. "Begitu juga jika Sultan Abdullah mempunyai masalah, Tuanku suka duduk di biliknya bersendirian dan apabila keluar, baginda akan kembali seperti biasa... baginda suka menyimpannya sendiri,” katanya kepada Bernama di Pekan, Pahang. Menceritakan sisi lain Sultan Abdullah, Abd Rahman berkata baginda juga seorang yang 'cool' dan suka mengusik orang rapat di sekeliling baginda, termasuk kakitangan istana yang 'veteran', sekaligus menyebabkan baginda disayangi. "Saya yang sudah tua ini juga masih diusiknya," katanya yang berkhidmat dengan Sultan Abdullah sejak 45 tahun lalu. Abd Rahman kini menjangkau usia 65 tahun. Mengimbas kembali detik awal berkhidmat dengan Istana Pahang, Abd Rahman berkata pada asalnya beliau hanya memohon untuk bekerja sementara kerana ketika itu sedang menunggu panggilan untuk menyertai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Bagaimanapun, ketika panggilan menghadiri latihan ketenteraan diterima pada tahun 1974 dan tiket waran keretapi telahpun di tangan, Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah telah memanggilnya menghadap baginda dan menitahkan supaya beliau mengikuti putera-putera baginda yang akan dihantar bersekolah di London. "Rezeki juga saya merasa duduk di negara orang putih bertahun-tahun bermula 1975. Semasa itu Sultan Abdullah dan Tengku Abdul Rahman (Tengku Muda Pahang) bersekolah asrama, jadi tugas saya menjemput dan menghantar baginda berdua setiap hujung minggu. "Selalunya tugas yang kerap saya lakukan ialah memasak untuk Sultan Abdullah dan Tengku Abdul Rahman tapi apa sangatlah kemahiran memasak orang bujang semasa itu. Saya kerap masak nasi goreng atau ayam goreng atau kalau hendak makan sedap, saya belikan tandoori atau burger kerana baginda berdua tidak cerewet," katanya. Abd Rahman berkata bagi memenuhi masa lapang, mereka bertiga selalu bermain muzik bersama di mana Sultan Abdullah akan bermain drum, Tengku Abdul Rahman bermain gitar bass manakala beliau akan memilih sama ada keyboard, piano atau gitar. Katanya, selepas beliau berkahwin pada tahun 1979, isterinya Datin Rozaidah Mokhtar, 62, mengambil alih tugasan memasak dan antara menu pilihan ialah nasi dagang selain masakan asli Pahang seperti ikan patin masak tempoyak, opor daging dan ayam golek. "Kalau ditanya lagi, baginda memang gemar bersantap juadah air tangan isteri baginda (Tengku Ampuan Pahang) Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Apa yang dimasak, itulah santapan Sultan. Cumanya, baginda alah dengan cuka," katanya. Selain itu, beliau berkata Sultan Abdullah yang aktif bersukan turut memupuk minat sama dalam diri anakanda baginda, terutama dalam sukan polo memandangkan baginda sendiri pernah mengetuai pasukan Polo Diraja Pahang pada perlawanan antarabangsa. "Walaupun tidak lagi aktif bermain polo, tuanku akan mencemar duli menyaksikan pertandingan yang disertai putera-putera baginda dan sesekali melihat latihan. Tuanku memang minat berkuda walaupun tidak lagi dapat kerap melakukan aktiviti itu pada masa kini dan tiga kuda kesayangan tuanku yang diberi nama Pintada, Cumbia dan Mimosa adalah baka Argentina," katanya. Sultan Abdullah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa pada Khamis.