suria

Diskaun tol di lima lebuh raya sempena Tahun Baharu Cina

Gambar hiasan.

LEBIH 452,000 pengguna di tiga lebuh raya iaitu Lebuhraya Shah Alam (LSA), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya SMART bakal menikmati diskaun kadar tol sempena sambutan Tahun Baharu Cina minggu depan.

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Trans Kota Holdings Berhad (LITRAK) Stephen Low Chee Weng berkata pemberian diskaun antara 10 dan 30 peratus itu akan bermula 12 tengah malam sehingga 11.59 malam pada 5 Februari ini.

"Diskaun ini adalah antara inisiatif pihak kami dalam mengurangkan beban pengguna semasa perayaan Tahun Baharu Cina. Secara keseluruhan, jumlah anggaran diskaun kadar tol ini berjumlah RM221,500," katanya pada sidang media pengumuman diskaun berkenaan, di Kuala Lumpur, Khamis.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Operasi SMART Sdn Bhd Sharifah Alauyah Wan Othman dan Ketua Pegawai Operasi KESAS Sdn Bhd Mohammed Shah Samin.

Stephen berkata pengguna kenderaan Kelas 1 di lebuh raya LSA akan menikmati diskaun 10 peratus (RM0.20) manakala peratus (RM0.70) ditawarkan kepada pengguna LDP.

Pengguna Lebuhraya SMART pula akan menikmati 10 peratus atau pengurangan RM0.30 diskaun bagi kenderaan Kelas 1 dan 4 sepanjang tempoh itu.

Sementara itu pengguna Kelas 1 Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) akan menikmati diskaun tol 10 peratus Selasa ini sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

PLUS dalam kenyataan pada Khamis berkata pemberian diskaun itu berkuat kuasa dari 12 tengah malam hingga 11.59 malam Selasa.

"Diskaun ini diberi kepada pengguna Kelas 1 ketika membayar atau melakukan transaksi bayaran tol di PLUS iaitu Lebuhraya Utara-Selatan; Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE); Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH); Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE); Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua); Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE); Jambatan Pulau Pinang; dan LPT2..

"Bagaimanapun, diskaun itu tidak diberikan untuk transaksi tol di Plaza Tol Tanjung Kupang dan pengguna jalan raya di Jambatan Pulau Pinang yang telah menikmati diskaun tol 20 peratus," kata kenyataan itu. -Bernama

tol, diskaun, Tahun Baharu Cina

Artikel Lain