ALIRAN trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan bergerak perlahan petang Jumaat berikutan cuti panjang sempena perayaan Tahun Baharu Cina. Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) (he) berkata setakat 6 petang, di Lebuhraya Utara-Selatan, trafik perlahan ke arah utara iaitu dari Rawang ke Sungai Buaya, Lembah Beringin ke Tanjung Malim, Slim River menuju ke Sungkai dan dari Bidor menuju ke Tapah sehingga Gopeng. “Trafik turut perlahan dari Terowong Menora ke Sungai Perak dan Hentian Sebelah Juru menuju ke Perai. Selain itu, trafik sesak sepanjang lebih lima kilometer dari Kuala Kangsar ke Changkat Jering di KM231 susulan kemalangan melibatkan sebuah kereta yang mengakibatkan lorong kiri terhalang,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur. Sementara itu, beliau berkata laluan pantai timur di Lebuhraya Pantai Timur 1 dan 2 masih terkawal dan lancar. Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di talian 1800-88-7752 atau merujuk laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik dan www.twitter.com/llminfotrafik. - BERNAMA