PAKATAN Harapan (PH) akan menubuhkan satu badan khas yang bertindak menyelaras semua gerak kerja berkaitan kerajaan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berkata kewujudan badan itu penting bagi memastikan setiap tindakan yang dilakukan kerajaan adalah tersusun dan dilihat ada ‘kebersamaan' di mata rakyat. “Setakat ini kita dapati rakyat tidak mengetahui secukupnya apa yang dilakukan kerajaan kerana tiada penjelasan secara bersepadu dan bersama sesama kita. “Sebab itu, mesyuarat hari ini memutuskan satu badan khusus perlu ditubuhkan bagi menjawab segala tuduhan berkaitan PH sejak membentuk kerajaan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, Jumaat. Dr Mahathir berkata antara perkara perlu dijelaskan ialah PH dapat melaksanakan pelbagai dasar yang memberi manfaat kepada rakyat walaupun pada awalnya perkara tersebut diragui banyak pihak. "Sebenarnya banyak kejayaan yang kita capai dan semua itu akan disenaraikan oleh badan yang akan ditubuhkan ini kelak," katanya dan menjelaskan bahawa pelbagai perkara baharu berkaitan ekonomi, politik dan sosial yang diperkenal kerajaan sebenarnya amat berjaya, namun ia tidak dapat dilihat secara mata kasar. Berhubung Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Dr Mahathir berkata PH yakin dapat mengekalkan kerusi itu walaupun ada pihak meramalkan sokongan orang Melayu terhadap kerajaan berkurangan. Perdana Menteri berkata isu berkaitan kegagalan menunaikan manifesto tidak memberi kesan besar, malah rakyat sedar kekangan yang ada untuk melaksanakan semua perkara yang dijanjikan. “Sebenarnya banyak perkara dalam manifesto ditunaikan kecuali perkara yang memerlukan pindaan perlembagaan seperti mengadakan tempoh jawatan Perdana Menteri dan had umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun. “Kita percaya rakyat tidak merasai tertekan dengan kerajaan kerana kita tidak melakukan perkara yang salah seperti terlibat rasuah, malah di mana-mana sahaja saya pergi ramai rakyat yang hadir untuk menyatakan sokongan kepada kerajaan,” katanya. Mengenai dapatan kononnya 60 peratus orang Melayu menolak PH dan Putrajaya ditadbir bukan Melayu dan beliau hanyalah boneka, Dr Mahathir berkata ia tidak benar dan menyimpang dari realiti. “Mereka mereka-reka cerita kononnya PH ditadbir oleh DAP dan saya hanya boneka... tapi saya bukan boneka. Itulah yang dimainkan dalam kempen,” katanya. Ditanya mengenai populariti yang kini diraih bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Dr Mahathir berkata hal itu antara lain disebabkan dasar kerajaan yang memberikan kebebasan kepada bekas presiden Umno itu untuk bersuara. Perdana Menteri berkata keadaan itu tidak berlaku semasa Najib berkuasa di mana individu yang ditahan pihak berkuasa dipakaikan dengan baju lokap serta dimasukkan ke penjara seperti kes Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Maria Chin. Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir turut mengumumkan pelantikan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya Pakatan Harapan. - BERNAMA