suria

Jiran sambut Gong Xi Fa Chai, Mufti WP hadiah kek pengerat silaturahim sesama insan

Zulkifli menghantar kek kepada jiran-jirannya yang menyambut Tahun Baharu Cina. - Instagram @drzulkifli.albakri

MALAYSIA sememangnya bertuah kerana memiliki kekayaan budaya, sekali gus rakyatnya yang berbilang bangsa dan agama menyambut pelbagai perayaan.

Sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada Selasa, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri tidak melepaskan peluang untuk mengeratkan hubungan silaturahim dengan mereka yang berlainan agama.

Beliau menerusi posting di Instagram berkata, hidup beragama sebenarnya indah dan mudah jika kita memahami kehendak agama dan juga batasannya.

"Islam meraikan kepelbagaian agama dan keberagaman bangsa.

"Betapa sejarah kehidupan Rasulullah SAW sendiri membuktikan bahawa tembok bangsa dan agama boleh diketepikan dengan akhlak dan kesantunan," tulis beliau pada Isnin.

Tambah mufti itu, beliau meraikan jiran-jirannya yang berbangsa Cina dengan memberikan kek sempena perayaan tersebut.

Biarpun pemberian itu dianggap kecil, Zulkifli berharap hadiah tersebut dapat menyumbang kepada keharmonian rakyat Malaysia berbilang bangsa.

"Marilah kita kembali kepada asas yang hakiki bahawa kita sebenarnya satu keluarga besar yang bernendakan (asal usul) Adam dan Hawa.

"Zahirkan keindahan Islam, sebarkan semangat perpaduan," ujar beliau.

Posting itu turut disertakan dengan gambar Zulkifli menziarahi dua jirannya sambil menghulurkan sekotak kek setiap seorang, berserta ucapan 'Selamat Tahun Baru Cina. Dari: Dr. Zul Al-Bakri'.

Gambar tersebut disambut baik oleh netizen yang rata-ratanya kagum dengan contoh yang ditunjukkan oleh mufti berkenaan.

Tahun Baharu Cina

Artikel Lain