suria

Ganjaran menanti pemberi maklumat untuk bantu tangkap Jho Low?

BUKIT Aman tidak menolak kemungkinan bahawa pihak tertentu menawarkan ganjaran atau hadiah berupa wang untuk mendapatkan maklumat yang membawa kepada penangkapan ahli perniagaan Low Taek Jho, kata Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Ketua Polis Negara berkata, usaha tersebut akan membantu pihak polis menahan Low atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

ARTIKEL BERKAITAN: 1MDB: Bukit Aman cari ibu bapa Jho Low, 2 lagi

"Matlamat utama kami adalah untuk menangkapnya (Jho Low).

"Mungkin ganjaran ini akan memberi insentif kepada orang ramai untuk mengemukakan maklumat yang penting, dengan itu mempercepatkan proses untuk mengesannya," katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis penyerahan jawatan Ketua Polis Selangor Komisioner Datuk Noor Azam Jamaludin mengambil alih jawatan CPO daripada Datuk Mazlan Mansor.

Polis tidak akan menghalang usaha pihak tertentu yang memberikan ganjaran seperti itu, tambah beliau.

Ketika ditanya sama ada polis akan menawarkan ganjaran seumpama itu, Mohamad Fuzi berkata, Bukit Aman akan mempertimbangkannya jika ada keperluan berbuat demikian.

Ketua Polis Negara mengulas cadangan tentang pemberian ganjarang bagi mendapatkan maklumat yang membawa kepada penangkapan Jho Low.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng menggesa parti komponen Umno dan Barisan Nasional untuk menawarkan ganjaran kewangan untuk mencari Jho Low.

Lip Eng berkata BN harus menawarkan bantuan untuk mencari dalang di sebalik skandal 1Malaysia Development Bhd memandangkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkeras bahawa beliau tidak bersalah. - The Star

Jho Low

Artikel Lain