PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad telah menjawab khabar angin mengenai rombakan Kabinet. "Tidak, saya akan kekal bersama Kabinet saya. "Sebarang berita tentang rombakan kabinet adalah palsu," katanya pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina yang dihoskan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Dewan Perniagaan dan Industri Kebangsaan Malaysia (NCCIM) di sini pada Rabu. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai entri blog yang mendakwa rombakan Kabinet akan berlaku selepas Tahun Baharu Cina. Entri blog itu membuat spekulasi bahawa Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali akan menggantikan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menter. Blog itu turut membuat spekulasi rombakan itu akan dilaksanakan disebabkan oleh kepentingan tugas yang diberikan kepada Azmin, seperti melantiknya sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Negeri Kelantan dan mungkin mengetuai badan yang dicadangkan sama seperti Majlis Tindakan Ekonomi Nasional yang lalu. Pada Selasa, ketika ditanya soalan yang sama oleh media, Dr Wan Azizah berkata beliau tidak mendengar sebarang maklumat mengenai rombakan Kabinet dan soalan itu harus ditanyakan sendiri kepada Dr Mahathir. - The Star