DULKIFLI Djuaeri, 37, atau lebih dikenali sebagai Ide Adol dalam kalangan pengumpul kasut, memiliki kira-kira 220 pasang kasut klasik berjenama, terutamanya Adidas dan dianggarkan bernilai RM180,000. Pemuda itu mula mengumpul kasut berjenama sejak 2011 dengan kebanyakan koleksinya adalah siri Adidas City dan Island. "Saya membeli kebanyakan kasut dari kedai 'bundle', dalam talian dan daripada pengumpul kasut klasik. "Koleksi terkini saya banyak dari tahun 1950-an hingga 1980-an dan kasut-kasut itu datang dari negara seperti Jerman, Slovenia, Jepun, Australia, Perancis dan Hungary," katanya kepada Bernama. Antara koleksi kasut paling disayanginya adalah kasut Oasis edisi 'high-cut' dari Perancis. Dulkifli menganggap kasut itu mempunyai nilai sentimental yang tinggi dan yakin bahawa dia adalah satu-satunya orang di Malaysia yang memiliki edisi itu. Dulkifli amat menggemari jenama Adidas. - Bernama/Frontdesk "Walaupun orang mahu membeli Oasis ini, saya tidak akan menjualnya," kata ketua penyelidikan dan pembangunan sebuah syarikat di Kuala Lumpur itu. Beliau berkata, minatnya yang mendalam terhadap jenama kasut Jerman yang sinonim dengan tiga garis berbeza itu adalah disebabkan oleh tiga faktor iaitu daya tarikan, warna dan reka bentuk yang lebih menarik berbanding jenama lain. Bapa kepada tiga anak lelaki itu juga berkata, sepasang kasut paling mahal yang pernah dibelinya adalah Adidas Riviera yang berharga RM2,000. Hobinya mengumpul kasut bermula selepas dipengaruhi oleh rakan-rakan untuk melawat pameran kasut klasik dan acara jualan. Beliau juga tidak menafikan bahawa isterinya kecewa melihat dirinya menghabiskan semua bonusnya untuk membeli lima pasang kasut dari koleksi seorang kawan. "Tetapi dari masa ke masa, dia (isteri) mula memahami. Saya juga menjana pendapatan sampingan melalui penjualan kasut," katanya ketika ditanya tentang pendapat isterinya tentang hobinya. Dulkifli berkata, memandangkan koleksi kasutnya semakin meningkat, sebahagian daripada ruang tamu di rumahnya terpaksa diubah menjadi rak kasut 10 tingkat dan ruang tamu itu kelihatan seperti butik kasut. - Front Desk