MENTERI Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali berharap hubungannya dengan presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal seumur hidup. Menurusi tweet oleh Azmin pada Rabu, beliau berkongsi gambar yang menunjukkan dia tersenyum sambil memegang tangan Anwar. Gambar menunjukkan mereka ketika Presiden PKR dan isterinya, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melawat Azmin di rumahnya di Ampang. ARTIKEL BERKAITAN: Agong berkenan ziarah Azmin Melalui tweet tersebut, Azmin yang juga timbalan presiden PKR turut menyatakan penghargaannya yang tulus kepada Anwar. "Tawa dan riang, ceria dan mesra, hormat dan kasih, ukhuwwah dan sejati antara gambaran yang terpapar secara tulus di antara dua hati nurani insan ini @anwaribrahim dan @AzminAli pada pagi ini. Semoga berkekalan sepanjang zaman," kata Azmin. Azmin yang cuti sakit selama sebulan, keluar dari sebuah hospital swasta pada Selasa selepas menjalani pembedahan pundi hempedu. Beliau sedang berehat di rumah selepas menjalani pembedahan tersebut. Anwar tetap hadir melawat Azmin biarpun berlaku perselisihan berkaitan isu PKR antara kedua-dua pemimpin politik itu sejak beberapa minggu lalu. - The Star