suria

Kejam! Mayat budak perempuan ditemui kepala terpisah dari badan, tanpa organ dalaman

Mayat Siti Masitah ditemui penduduk kampung petang Sabtu.

MAYAT seorang kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun yang dilaporkan hilang sejak 31 Januari lalu, ditemui kira-kira tiga kilometer dari rumahnya di Tanjung Medang Kemahang di Pekan, Pahang dipercayai mati dibunuh.

Mayat Siti Masitah Ibrahim ditemukan kira-kira pukul 4 petang Sabtu oleh penduduk kampung yang memburu ayam hutan di kawasan itu sebelum melaporkannya kepada polis.

Difahamkan, mayat mangsa yang berketurunan Kemboja ditemukan dalam keadaan tangan diiikat dan tanpa seluar namun polis masih menjalankan siasatan serta mengklafikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut sehingga keputusan bedah siasat dikeluarkan.

Sementara itu, menurut laporan sebuah portal berita Bahasa Melayu, mayat tersebut ditemui dalam keadaan kepalanya terpisah daripada badan, tangan dan kaki diikat serta beberapa organ dalaman tidak dijumpai.

Ibu mangsa, Solihah Abdullah, 35, berkata, ketika hari sebelum Siti Masitah hilang, anak dari tiga beradik tersebut meminta izin untuk keluar rumah dan meminta duit seringgit daripadanya.

Menurutnya, dia pada mulanya tidak mengesyaki anaknya akan hilang namun mula menjadi risau apabila Siti Masitah tidak pulang selepas waktu Maghrib.

"Dia keluar rumah dalam pukul 5 untuk ke kedai...saya pada mulanya tidak perasan kerana tengah khusyuk menjahit baju namun bila pukul 6.30 petang saya mula risau dan menyuruh anak sulung saya mencarinya.

"Selepas waktu Maghrib, saya risau kerana anak sulung saya masih tidak jumpa adiknya dan kami meminta tolong orang kampung dan dalam pukul 10 malam (waktu sama) orang kampung menjumpai basikalnya dan saya ambil tindakan melaporkan perkara ini kepada polis," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Medang Hilir di sini Sabtu.

Basikal yang dipercayai milik Siti Masitah.

Solihah berkata, setiap hari dirinya tidak berputus asa berdoa dan berterima kasih kepada penduduk kampung yang membantunya sehingga anaknya berjaya ditemui oleh penduduk yang sedang memburu ayam hutan.

Menurutnya, walaupun keadaan mayat sukar dikenal pasti namun dia yakin ia adalah Siti Masitah berdasarkan baju yang dipakainya.

"Saya sendiri pergi melihat dan sememangnya mayat anak saya kerana saya mengecam baju pada mayat itu kerana baharu seminggu saya membelinya untuk Siti Masitah dan merupakan baju kegemarannya.

"Saya juga melihat tangan mayat itu diikat dan telah menyerahkan perkara ini kepada polis untuk menjalankan siasatan," katanya.

Tambahnya, walaupun dirinya mengesyaki anaknya dibunuh namun dia bersyukur kerana mangsa akhirnya berjaya ditemui setelah 11 hari menanti tanpa sebarang berita.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Othman Nayan berkata, mayat itu dijumpai dalam keadaan tertiarap di atas tanah dan pemeriksaan di kawasan sekeliling tidak menemukan sebarang senjata.

Katanya, identiti mayat tidak dapat dikenal pasti dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan untuk bedah siasat.

"Bedah siasat mayat akan dibuat pagi esok (Ahad) untuk mengenal pasti punca kematian.

"Siasatan akan diteruskan selepas keputusan bedah siasat," katanya. - Sinar Harian

kejam, bunuh, Pekan

Artikel Lain