suria

Mayat Bari ditemui terapung oleh orang awam

Kredit gambar: Facebook Amir Amet Lah

SETELAH pelbagai usaha dilakukan, akhirnya mayat pemancing yang hilang ketika menyelamatkan empat mangsa kenderaan pacuan empat roda yang terjunam ke dalam sungai di Pulau Warisan Jumaat lepas ditemukan kira-kira pukul 7.24 pagi Ahad.

Mayat Abdul Bari Asyraf Mohd, 31, dijumpai oleh orang awam dalam keadaan terapung di kawasan muka kuala Tanjung, Sungai Terengganu iaitu kira-kira 2.5 km dari lokasi kejadian.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Sharikan Bustaman berkata mayat mangsa dinaikkan oleh anggota Mencari dan Menyelamat (SAR) bomba.

ARTIKEL BERKAITAN: Operasi cari Bari diteruskan guna ROV

"Keluarga mangsa telah melakukan pengecaman dan mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.

"Dengan penemuan ini operasi dan pusat kawalan operasi SAR ditutup secara rasmi pada 8.30 pagi," katanya ketika ditemui Bernama.

Abdul Bari sedang memancing bersama rakan ketika terlihat sebuah kereta pacuan empat roda terjunam ke dalam sungai tersebut.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, Abdul Bari Asyraf yang ketika itu sedang memancing bersama rakannya, terjun ke dalam muara sungai selepas melihat kereta pacuan empat roda itu terjunam.

Selain beliau, empat lagi orang awam turut melakukan perbuatan sama bagi menyelamatkan empat beranak di dalam kereta terbabit.

Empat beranak itu bagaimanapun selamat dan dihantar ke HSNZ untuk rawatan.

Operasi SAR juga membabitkan orang awam malah ia menarik perhatian pemimpin kerajaan negeri hingga menganjurkan solat hajat malam tadi sebagai antara usaha pencarian Abdul Bari Asyraf.

Terdahulu, operasi mencari pemancing, Abdul Bari Asyraf Mohd, 31, yang hilang selepas menyelamatkan empat penumpang Mitsubishi Storm yang terjunam ke dalam Sungai Terengganu, dekat Pulau Warisan, pada Jumaat diteruskan pada malam Sabtu dengan menggunakan peralatan Remotely Operated Underwater Vehicle (ROV).

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu, Azlimin Mat Noor berkata operasi pencarian melibatkan jarak dua kilometer malam Sabtu turut menggunakan tujuh buat bot daripada pelbagai agensi keselamatan seperti polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia. - Bernama

Abdul Bari Asyraf

Artikel Lain