PENGERUSI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad pada Selasa mengumumkan penyertaan enam bekas Anggota Parlimen Umno ke dalam Bersatu. Mereka ialah Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor), Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah). Dr Mahathir berkata keenam-enam anggota parlimen itu diterima menyertai Bersatu setelah mengkaji permohonan mereka selain meletakkan syarat bahawa mereka hanya akan menjadi anggota biasa tanpa memegang sebarang jawatan dalam parti. "Menjadi ahli Bersatu tidak bermakna mereka mencari perlindungan daripada parti ini. Kita tidak akan memberi perlindungan terhadap apa-apa yang dilakukan dahulu," kata Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri dalam sidang media, di Putrajaya pada Selasa. Terdahulu, beliau menyampaikan kad keahlian Bersatu kepada keenam-enam anggota parlimen tersebut serta Anggota Parlimen Masjid Tanah Mas Ermiyatie Samsudin yang telah menyertai Bersatu pada Disember tahun lepas. Dr Mahathir berkata Bersatu akan menggunakan khidmat anggota parlimen terbabit untuk tugas-tugas tertentu antaranya mendapatkan pendapat mereka serta memberi peluang kepada mereka untuk berkempen dalam pilihan raya untuk Bersatu dan Pakatan Harapan (PH). Menurutnya, Bersatu menerima permohonan anggota parlimen tersebut berikutan terdapat usaha untuk 'menghidupkan semula' Umno yang diperkuatkan melalui kerjasama dengan PAS. "(Dahulu) Umno ini adalah parti kafir mengikut PAS dan ditolak sama sekali. Tetapi apabila untung bagi PAS, dia akan bekerjasama dengan semua parti," katanya. Dr Mahathir berkata Bersatu memperjuangkan Melayu dan Bumiputera kerana mereka masih berasa tidak selamat jika tidak mempunyai jumlah perwakilan tertentu dalam parti gabungan dan kerajaan. "Kita akan menentukan nasib mereka akan terpelihara sementara kita bekerjasama dengan parti-parti lain yang berbilang kaum termasuk DAP. Inilah hasrat kita dan telah kita jelaskan kepada keenam-enam orang (anggota parlimen) ini dan mereka faham," katanya. Menjawab soalan mengapa anggota parlimen tersebut hanya menyertai Bersatu selepas Barisan Nasional tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14, Dr Mahathir berkata kadangkala pendirian terpaksa diubah mengikut keadaan semasa. "Dahulu saya mengecam (Penasihat DAP) Lim Kit Siang dan (Presiden PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim tapi sekarang saya bersama mereka dan mereka juga dulu kecam saya. "Kalau kita terikat kepada sesuatu pemimpin dan parti sehingga parti itu jadi parti penyamun pun kita kekal juga, itu bermakna kita bukan ahli politik tapi ahli untuk diri sendiri," katanya. Dr Mahathir berkata jika parti-parti PH iaitu PKR, DAP dan Parti Amanah Negara juga membelot dan tidak lagi setia kepada negara, beliau juga akan bertukar kepada parti lain. "Kita boleh berubah, kita bukan tetap selamanya," katanya. Dalam pada itu, Abdul Latiff berkata keenam-enam mereka membuat keputusan menyertai Bersatu kerana yakin dengan perjuangan Dr Mahathir selain beliau sendiri pernah menjadi sebahagian anggota kabinet semasa Dr Mahathir menjadi perdana menteri keempat. "Tun (Dr Mahathir) adalah orang yang berkuasa menjadi perdana menteri dan sudah semestinya menjadi tanggungjawab kami untuk perkuatkan Melayu dan Bumiputera," katanya. - BERNAMA