suria

Azmi Sharom dilantik Timbalan Pengerusi SPR

PROFESOR Madya Dr Azmi Sharom, pensyarah undang-undang Universiti Malaya, dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baharu, demikian umum Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

Ismail dalam satu kenyataan pada Khamis turut mengumumkan pelantikan empat anggota SPR yang baharu.

Mereka ialah Datuk Seri Ramlan Ibrahim, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar; Datuk Chin Phaik Yoong, bekas Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia; Profesor Madya Dr Faisal S. Hazis, Felo Kanan, Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas), Universiti Kebangsaan Malaysia; dan Zoe Randhawa, BERSIH 2.0 Resource Person.

Ismail berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berdasarkan Fasal (1) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan telah memperkenankan pelantikan itu.

"Pelantikan-pelantikan tersebut berkuat kuasa mulai tarikh mereka melaporkan diri sebagai anggota SPR sehingga mencapai usia 66 tahun selaras dengan Fasal (3) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Timbalan Pengerusi SPR Tan Sri Othman Mahmood terdahulu bersama lima anggota SPR memutuskan memendekkan tempoh perkhidmatan masing-masing berkuat kuasa 1 Januari lepas.

Mereka adalah Datuk Md Yusop Mansur, Datuk Abdul Aziz Khalidin, Datuk Sulaiman Narawi, Datuk Leo Chong Cheong dan Datuk Bala Singam Karupiah.-- Bernama  


Azmi Sharom, SPR

Artikel Berikut

Artikel Lain