MAHKAMAH Tinggi memerintahkan isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor untuk memeriksa dan mengesahkan kewujudan 44 unit barang kemas bernilai US$14.79 juta atau hampir RM60 juta di bawah milikannya yang didakwa dirampas oleh pihak polis, dalam masa tujuh hari. Peguam Datuk David Gurupatham, yang bertindak bagi syarikat dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL ketika ditemui pemberita berkata perintah itu dikeluarkan Pesuruhjaya Kehakiman Wong Chee Lin (she) selepas pengurusan kes saman berkenaan di dalam kamarnya, hari ini. Gurupatham berkata Rosmah perlu membuktikan di mana kesemua barang kemas berkenaan berada dan bukan anak guamnya yang perlu berbuat demikian. "Mahkamah berpendapat dan bersetuju dengan hujahan kami bahawa perbicaraan akan tetap diteruskan walaupun barangan kemas itu ada atau tidak (dalam simpanan polis) kerana beliau (Rosmah) telah mengesahkan menerima dan menandatangani konsaimen bagi barangan kemas berkenaan," katanya. ARTIKEL BERKAITAN: Rosmah akan mohon gantung prosiding kes saman syarikat barang kemas Gurupatham berkata Rosmah telah mengesahkan menerima dan menandatangani konsaimen barangan barangan kemas itu atas permintaan beliau dan sekarang beliau menyatakan tidak perlu membuat pembayaran selepas mendakwa barangan kemas itu dirampas oleh polis. "Mengikut peruntukan undang-undang, ia juga bukan tugas polis untuk membuktikan (kewujudan barangan kemas berkenaan)," katanya. Peguam itu berkata mahkamah turut mengarahkan supaya semua pihak melengkapkan semua dokumen yang akan digunakan bagi perbicaraan kes yang ditetapkan pada 4 dan 5 Mac ini. Pada 26 Jun 2018, Global Royalty selaku plaintif menyaman Rosmah selaku defendan menuntut beliau memulangkan 44 unit barang kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih atau membayar harga untuk semua barangan kemas berkenaan berjumlah US$14.79 juta atau hampir RM60 juta. Dalam pernyataan tuntutannya, Global Royalty, pemborong barang kemas antarabangsa, mendakwa bahawa Rosmah telah lama menjadi pelanggan tetapnya dan bahawa firma itu akan menghantar konsaimen barang kemas kepadanya atas permintaan beliau. Rosmah kemudian akan menilai atau membeli barang kemas pilihannya yang akan dibayar sendiri olehnya atau melalui pihak ketiga. Syarikat itu yang membekalkan barang kemas kepada kerabat diraja serta pelanggan dan ternama dari seluruh dunia, mendakwa bahawa barang kemas yang tidak dipilih biasanya akan dipulangkan, dan dalam keadaan tertentu Rosmah akan meminjam beberapa barang kemas itu dan memulangkannya kepada plaintif. Global Royalty mendakwa pada 10 Feb 2018, ia telah menghantar 44 barang kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, masing-masing bernilai antara US$124,000 dan US$925,000 kepada defendan melalui serahan tangan menerusi dua ejennya. Syarikat itu berkata semasa serahan, Rosmah mengesahkan dan menerima terma-terma serta syarat yang terkandung dalam Memorandum No. 926 berkaitan barang kemas tersebut. Syarikat itu mendakwa bahawa Rosmah, melalui surat bertarikh 22 Mei 2018, juga mengesahkan dan mengakui menerima barang kemas terbabit tetapi menyatakan kesemua barang kemas berkenaan tidak lagi berada dalam milikannya kerana telah dirampas dan ia kini berada di bawah simpanan pihak berkuasa Malaysia. Global Royalty memohon pengisytiharan mahkamah bahawa firma itu adalah pemilik sah 44 unit barang kemas terbabit selain perintah pesanan yang menyatakan bahawa pemilikan barang kemas itu tidak pernah dipindahkan kepada defendan. Ia juga memohon perintah mandatori supaya Rosmah menyediakan senarai barang kemas yang telah dirampas, perintah untuk barang kemas itu dipulangkan atau, jika tidak, Rosmah akan bertanggungjawab membayar harga barangan berjumlah, US$14.79 juta (RM59.83 juta ). Rosmah, dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 23 Julai 2018 menafikan membeli mana-mana 44 unit barang kemas dan berkata barang kemas terbabit dihantar kepada beliau untuk dilihat atas sifat beliau sebagai isteri perdana menteri Malaysia atas kehendak dan kerelaan syarikat itu sendiri dan tanpa sebarang obligasi untuk beliau membeli barang kemas tersebut.-Bernama