suria

47 rakyat Malaysia di penjara Kemboja bebas

47 warga Malaysia dibebaskan daripada Penjara Provinsi Banteay Meanchey lewat petang Jumaat. Foto: Bernama

KESEMUA  47 warga Malaysia yang ditahan di Penjara Provinsi Banteay Meanchey telah dibebaskan lewat petang Jumaat selepas beberapa perundingan dibuat dengan pihak kerajaan Kemboja dan Malaysia.

Ketua NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican yang mengesahkan perkara itu  berkata keputusan meluluskan pembebasan itu dibuat oleh Perdana Menteri Kemboja Hun Sen setelah  mendapati semua tahanan itu telah ditipu oleh sindiket ejen pekerjaan.

“Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Kemboja, Oknha Datuk Dr Othsman Hassan kita sudah melihat dan meneliti semua perkara bahawa tahanan dari Malaysia telah di tipu terdaya oleh sindiket ejen perkerjaan.

“Kita juga melihat daripada segi hubungan diplomatik  kedua-dua negara yang sudah lama terjalin,”katanya kepada Bernama ketika dihubungi pada Jumaat.

Wisma Putra pada Khamis lepas mengesahkan laporan penahanan 47 rakyat Malaysia itu sejak 11 Disember tahun lalu atas pertuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram.

Dr Mustapha berkata selain Wisma Putra, beberapa pemimpin dan wakil rakyat dari Sarawak turut berada di Kemboja beberapa hari lalu untuk membincangkan cara penyelesaian bagi membebaskan tahanan terbabit.

Dalam pada itu ibu kepada salah seorang tahanan Zunita Sedini sebelum ini berkata  anaknya Yusuf Islam bersama 46 lagi rakyat Malaysia dijanjikan  peluang pekerjaan dengan bayaran lumayan sehingga US$1,500 (lebih RM6,000), namun semuanya hanya sandiwara apabila setibanya di Kemboja mereka tidak mendapat pekerjaan yang dijanjikan.- Bernama

Penjara, Kemboja

Artikel Sebelum

Artikel Lain