YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di Surau Utama Istana Negara, di ibu negara. Keberangkatan tiba baginda pada pukul 1.10 tengah hari diiringi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa. Hadir sama, Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Mu'adzam Sultan Ahmad Shah, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Timbalan Menteri Wilayah Datuk Dr Shahruddin Md Salleh. Majlis pengisytiharan Surau Utama Istana Negara untuk solat Jumaat juga diadakan sebelum solat hari ini yang mana akan dilaksanakan secara berterusan selepas ini. Pengisytiharan itu dilaksanakan menerusi penyerahan watikah pengisytiharan oleh Pengarah Jawi Ajib Ismail kepada Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz sambil disaksikan Sultan Abdullah. Khutbah Jumaat bertajuk 'Masa, Peliharalah' disampaikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang turut mengimamkan solat. Dalam khutbah itu, Dr Zulkifli berkata masa perlu dipelihara kerana ia adalah nikmat berharga dan patut diisi dengan perkara bermanfaat seperti berzikir dan menghadiri majlis ilmu. Selesai solat Sultan Abdullah berkenaan berangkat ke majlis santapan tengah hari bersama jemaah di Dewan Santapan Utama.-- Bernama