suria

Ada kesan lebam, tapak kasut pada rusuk kanan Adib - Saksi

R. Narresh hadir pada prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Adib di Mahkamah Koroner Kompleks Mahkamah Shah Alam, Isnin. Foto K K Sham

PROSIDING inkues bagi menyiasat punca kematian Muhammad Adib Mohd Kassim diberitahu terdapat kesan lebam pada rusuk kanan anggota bomba itu selain kesan tapak kasut di bahagian sama.

Anggota sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) R. Narresh, 30, berkata kesan lebam itu dilihat pada bahagian luar rusuk kanan anggota itu kerana ada tanda kemerahan di bahagian sama.

"Bila tengok merah, saya ingat ada pendarahan dan saya terus bersiap sedia dengan mengambil baju anggota bomba untuk diikat pada badannya.

"Saya juga nampak ada kesan garisan tapak kasut pada rusuk kanan (Muhammad Adib). Saya kemudian lap dan ianya (kesan tapak kasut) hilang," katanya ketika menjawab pertanyaan pegawai pengendali Hamdan Hamzah di hadapan Koroner Rofiah Mohamad di Shah Alam pada Isnin.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lepas.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN).

Mengulas lanjut, Narresh berkata pihaknya melihat keadaan Muhamamd Adib itu secara dekat ketika dia dan mangsa berada di dalam bucket (bahagian belakang) sebuah Mitsubishi Storm dipandu seorang lelaki yang bersetuju membantu membawa anggota bomba itu ke hospital.

Katanya beliau memeriksa nadi anggota berkenaan yang didapati lemah ketika itu selain tidak bercakap ataupun memberikan sebarang respons kepadanya.

"Saya ingat lagi dia dalam keadaan sesak nafas, matanya tertutup dan tidak berikan respons," katanya.

Narresh ketika mengimbas kembali peristiwa itu berkata tunang Muhammmad Adib ketika itu sempat mengirimkan pesanan melalui WhatsApp untuk mengetahui keadaan Muhammad Adib.

"Masa itu, ada beberapa panggilan masuk di telefon anggota bomba itu dan saya menjawab pada panggilan ketiga daripada Penguasa Bomba Azrul.

"Selang beberapa minit dalam pukul 1.30 pagi, ada pesanan mesej masuk daripada tunang anggota bomba itu yang bertanyakan, ‘B di mana… Buat apa?'," katanya.

Narresh sebelum itu memaklumkan sewaktu beliau tiba di lokasi rusuhan berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman, tiada siapa yang tampil membantu anggota bomba yang ketika itu tersandar pada bumper sebuah kereta dengan keadaan tidak sedarkan diri, sebaliknya orang ramai sibuk merakamkan gambar dan video.

"Bila saya masuk ke dalam crowd (orang ramai), saya tengok semua orang sibuk hendak ambil gambar dan video sahaja.

"Saya beritahu saya anggota sukarela APM dan masuk ke dalam melihat anggota bomba berkenaan.

"Saya tahu dalam keadaan itu saya tidak boleh pegang dia (Adib) dahulu, saya perlu alihkan kemudian barulah bawa dia ke hospital.

"Namun, saya tidak nampak siapa yang memukul anggota bomba berkenaan," katanya.

Menceritakan apa yang berlaku selepas Muhammad Adib sampai di wad kecemasan hospital yang merawat beliau (Pusat Perubatan Subang Jaya-SJMC), saksi kesembilan itu berkata pihak hospital pada mulanya dilihat enggan menerima anggota bomba tersebut tetapi akhirnya bersetuju menerima beliau untuk masuk wad.

Mereka tanya mana kad pengenalan, kad bomba dan kad perubatan Muhammad Adib.

"Saya kata kepada mereka jika you (anda) tidak selamatkan dia, nyawa (Muhammad Adib) akan terancam. Dia orang kerajaan dan kalau bangunan terbakar, bomba datang. Jadi tolonglah selamatkan dia," katanya.

"Pada masa itu, baru dia mengatakan okay dan membawa Muhammad Adib masuk," katanya.

Beliau berkata selepas kira-kira 15 minit, beberapa anggota bomba dilihat tiba dan terus bercakap dengan jururawat hospital berkenaan.

Beliau juga berkata pihaknya sempat menyampaikan telefon bimbit milik Muhamamd Adib kepada abangnya yang kemudian sampai di hospital itu.

Prosiding inkues bersambung pukul 2.30 petang. - BERNAMA

inkues, Adib

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain