POLIS telah mengenal pasti identiti suspek yang menyerang seorang wanita di stesen MRT Taman Mutiara dekat Cheras pada 14 Februari lalu. Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim pada Isnin berkata polis telah mempunyai maklumat peribadi suspek termasuk alamat rumahnya. "Bagaimanapun, kami tidak boleh mendedahkan butiran lanjut suspek warga tempatan itu kerana ia akan menjejaskan siasatan kami dalam kes ini. "Hasil siasatan kami mendapati suspek telah menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam pada kira-kira 6.30 pagi itu berhampiran stesen MRT berkenaan sebelum menyamun mangsa di dalam lif," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Pada 14 Februari lalu, seorang wanita berusia 48 tahun mengalami beberapa kecederaan di badan dan lebam di dahi dalam insiden serangan itu. Sebuah video yang tular menunjukkan suspek menyamun dan membelasah wanita tersebut berulang kali. Suspek melarikan diri bersama MyKad, kad ATM dan wang tunai RM400 milik mangsa.