suria

Doula perlu tampil bincang dengan KKM bagi penyelesaian terbaik

Gambar hiasan

GOLONGAN 'doula' (pembantu ketika proses kelahiran) disaran tampil mengadakan sesi janji temu dengan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mendapatkan maklum balas mengenai amalan tersebut.

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pendekatan tersebut perlu kerana amalan doula memerlukan satu pengurusan yang baik kerana ia melibatkan aspek kesihatan dan nyawa seseorang.

"Kita perlu adakan perbincangan dengan mereka secara langsung, sebab akhirnya jika kita benar-benar mahu mengizinkan amalan doula, ia mesti dilakukan dengan penuh tanggungjawab, prosedur operasi standard (SOP), dan syarat yang tersendiri.

"Mesyuarat pasca kabinet sering kali membincangkan perkara ini, bahawa perbincangan harus diadakan dan amalan itu perlu melalui pemerhatian dan pengurusan baik supaya tidak timbul kemudaratan. Kita mahu mengadakan janji temu untuk mereka tampil ke hadapan, sama ada individu, kumpulan atau organisasi untuk kita wujudkan amalan lebih baik dan elak kemudaratan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa Codex Berkaitan Lemak dan Minyak (CCFO) ke-26 di Kuala Lumpur pada Isnin.

Doula adalah pembantu atau peneman semasa proses kelahiran untuk memberi sokongan emosi serta maklumat berkaitan kehamilan dan kelahiran seperti cara meneran dan bernafas.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata doula mempunyai sudut positifnya tersendiri namun kebaikannya tidak seharusnya diatasi dengan kemudaratan.

"Jadi untuk menguruskan kemudaratannya dan mengembangkan kebaikannya maka kita perlu bertemu mereka, izinkan mereka datang berbincang sama dengan pihak berkaitan untuk menjaga kepentingan awam," katanya.

Pada 25 Julai tahun lepas, beliau dilaporkan berkata KKM bercadang mewujudkan peraturan khusus bagi mengawal khidmat doula bagi memastikan keselamatan ibu dan kandungan terjamin semasa proses kelahiran. - BERNAMA

doula, KKM

Artikel Sebelum

SPR teruskan PRK Semenyih

Artikel Berikut

Artikel Lain