KETUA Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata beliau akan bersara wajib bila sampai masanya untuk berbuat demikian. Mohamad Fuzi, yang genap 60 tahun pada 4 Mei ini, berkata jangan ada pihak yang membuat spekulasi tentang persaraannya kerana apa yang dilaporkan itu tidak benar. "Kita kena sedar diri... apabila masanya telah tiba untuk anda pergi , anda pergi ...tak ada masalah dan jangan buat spekulasi. Kita dah selesai tanggungjawab kita dan dapat laksana amanah dengan baik dan telah cuba sebaik mungkin," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Peringatan Ulang Tahun Pasukan Simpanan Persekutuan ke-63 dan penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di ibu negara, Selasa. Sambil bergurau, Mohamad Fuzi berkata mungkin lepas ini pengamal media akan melihat beliau menjual buah durian selepas bersara. Menurut Mohamad Fuzi selain beliau, yang akan turut bersara ialah Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd dan Pengarah Jabatan Siasatan Narkotik Datuk Seri Mohmad Salleh. Mohamad Fuzi dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada 4 Sept tahun 2017 menggantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar. Beliau menyertai Polis Diraja Malaysia sebagai kadet Asisten Superitendan pada 8 Januari 1984 .-- Bernama