suria

Operasi feri syarikat Dragon Star digantung hingga siasatan selesai

SEMUA operasi perkhidmatan feri penumpang milik syarikat Dragon Star Shipping Sdn Bhd digantung serta-merta sehingga selesai siasatan berhubung kebakaran membabitkan sebuah daripada ferinya pada Isnin.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani, Pengangkutan dan Industri Utama negeri, Azman Nasrudin berkata arahan penggantungan itu bagi membolehkan pihak Jabatan Laut melakukan siasatan terperinci untuk mencari punca sebenar kebakaran.

"Ini merupakan kali kedua syarikat itu digantung operasinya dan siasatan forensik mengambil masa tiga hingga empat hari. Kita juga akan lihat sama ada syarikat itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman di Alor Setar pada Selasa.

Beliau berkata kali pertama operasi syarikat itu digantung selama sebulan pada Oktober tahun lalu selepas ferinya terkandas selama lapan jam di tengah laut ketika dalam perjalanan dari Langkawi ke Kuala Kedah.

"Kita (Kerajaan negeri) mengambil kira semua laporan dan aduan yang dibuat oleh penumpang terhadap feri itu termasuk terhidu bau minyak enjin dan kalau dakwaan itu benar, kita tidak teragak untuk sarankan kepada Kementerian Pengangkutan supaya menghentikan terus operasi syarikat itu," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 2.45 petang Isnin, 52 penumpang feri Dragon Star 1 berhadapan detik cemas selepas feri itu terbakar sebaik bertolak dari Terminal Feri Kuah, Langkawi menuju ke Kuala Perlis sebelum diselamatkan oleh bot dan feri lain yang berada berdekatan.

Ditanya mengenai dakwaan penumpang bahawa jaket keselamatan tidak mencukupi semasa kejadian, Azman berkata perkara itu tidak benar kerana semua jaket keselamatan sudah diletakkan di bawah tempat duduk penumpang.

Sementara itu, Pegawai Laut Jabatan Laut Langkawi, Ghadzali Ahmad berkata pihaknya juga telah melakukan pemeriksaan keselamatan secara berkala terhadap feri yang berusia 28 tahun itu, sebelum membenarkan feri tersebut membawa penumpang.

"Sebelum feri berlepas, kita tidak menerima sebarang makluman bahawa feri tersebut berada dalam keadaan tidak memuaskan dan pemeriksaan dokumentasi juga dilakukan dan feri berada dalam keadaan baik untuk berlepas," katanya.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Kuah, Mohd Firdaus Ahmad berkata, sudah tiba masanya Jabatan Laut dan agensi berkaitan mengubah SOP perkhidmatan feri.

"Apa yang jadi semalam merupakan petanda awal, jadi sudah tiba masa SOP termasuk menetapkan usia penggunaan sesebuah feri itu dilihat, dikaji dan diubah bagi mengelak kejadian seperti ini berulang kerana ia melibatkan keselamatan penumpang," katanya. - BERNAMA

lesen, feri, Dragon Star

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain