suria

Adib diminta tak layari Internet semasa di IJN - Doktor

Dr Suneta Sulaiman.

ANGGOTA bomba Muhammad Adib Mohd Kassim telah diminta supaya tidak melayari Internet di telefon bimbitnya kerana mungkin akan menemui laporan mengenai kejadian yang menyebabkannya dimasukkan ke hospital.

Pengarah Unit Rawatan Rapi (ICU) Institut Jantung Negara (IJN) Datuk Dr Suneta Sulaiman berkata beliau menasihatkan Muhammad Adib supaya tidak melayari Internet kerana terdapat banyak laporan mengenai kejadian yang menyebabkan anggota bomba itu dimasukkan ke hospital.

Saksi ke-15 itu memberitahu Mahkamah Koroner di Shah Alam, bahawa Muhammad Adib meminta untuk menggunakan telefonnya dengan menulis di papan putih semasa dirawat di pusat rawatan itu.

Dr Suneta, 44, yang juga pakar bius, berkata Muhammad Adib meminta telefon dengan menulis di papan putih: “Nak phone."

Beliau memberitahu anggota bomba berkenaan bahawa beliau boleh menggunakan telefon pada masa-masa tertentu tetapi perlu mematuhi syarat.

"Saya menasihatkan dia tidak melihat Internet terlalu banyak," katanya pada inkues di hadapan Koroner Rofiah Mohamad pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Zhafran Rahim Hamzah, yang merupakan pegawai pengendali dalam inkues bagi menyiasat kematian Muhammad Adib.

Dr Suneta juga memaklumkan inkues itu bahawa beliau memberitahu Muhammad Adib bahawa dia hanya boleh menggunakan telefon bimbitnya untuk berkomunikasi dengan anggota keluarga terdekat, dan dia bersetuju.

Doktor itu berkata beliau berkomunikasi dengan pesakit itu mengenai penggunaan telefonnya antara 4 dan 11 Disember apabila anggota bomba berkenaan menerima rawatan menggunakan mesin Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO) yang membantu fungsi paru-parunya.

Semasa diminta memberi pendapat profesional beliau tentang keadaan fikiran Muhammad Adib semasa hospital, Dr Suneta berkata ia berbeza-beza, bergantung kepada tahap ubat-ubatan yang diambil.

Mengenai rawatan Muhammad Adib selama 20 hari di IJN, beliau berkata kesihatannya merosot pada tiga hari terakhir sebelum dia menghembuskan nafas terakhir pada 9.41 malam, 17 Disember lalu.

"Semasa 48 jam (dimasukkan ke hospital), (Adib) menunjukkan petanda positif dan kami gembira," katanya.

Doktor itu yang kelihatan agak beremosi ketika memberi keterangan pada akhir keterangannya berkata, sekiranya Muhammad Adib tidak diberikan sokongan ECMO ketika dimasukkan ke IJN, dia mungkin meninggal dunia dalam masa yang singkat.

Muhammad Adib, yang merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lepas dan meninggal dunia pada 17 Disember lepas di IJN. - BERNAMA

Adib, bomba, IJN

Artikel Sebelum

Polis buru pengasuh dera bayi

Artikel Lain