suria

Kes cincin berlian RM2.89 juta lesap, peniaga tempatan dicekup

POLIS menahan seorang peniaga lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan 'kehilangan' sebentuk cincin berlian dan ruby berharga RM2.89 juta yang dilarikan daripada sebuah kedai emas di Genting Highlands pada Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Suptenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, suspek berusia 46 tahun dan berasal dari Kuching, Sarawak itu ditahan di Bentong, dekat sini pada 4.30 petang Rabu.

Katanya, suspek merupakan peniaga barangan import dari China dan mengusahakan hotel bajet di ibu negara serta menyediakan perkhidmatan pemandu dan kereta mewah sewa menerusi aplikasi WeChat sebagai pendapatan sampingan.

"Suspek dipercayai mengenali dua suspek utama yang pernah beberapa kali menyewa kereta sewanya untuk ke Genting Highlands termasuk pada hari kejadian selain turut menghantar mereka ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) beberapa jam selepas kejadian.

"Suspek juga mengikut suspek ke Ho Chi Minh, Vietnam pada Ahad namun mendakwa dua suspek utama tidak berada di hotel pada Isnin menyebabkan dia membuat keputusan pulang ke Malaysia pada Selasa," katanya kepada pemberita di sini hari ini. - Bernama

 

Ruby, Kuantan, Kuching

Artikel Lain