suria

AirAsia lancar sistem pengecaman wajah di lapangan terbang terpilih

SYARIKAT penerbangan tambang rendah AirAsia akan melaksanakan pemeriksaan keselamatan berdasarkan sistem pengecaman wajah di balai berlepas lapangan terbang terpilih di seluruh negara pada tahun ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aireen Omar (gambar) berkata ketika ini projek perintis teknologi itu dilaksanakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor.

"Sejak ujian perintis itu bermula, kami telah memperkukuh dan menambah baik keseluruhan teknologi itu dan akan melancarkan (sistem) tersebut di beberapa lapangan terbang di seluruh Malaysia,” katanya kepada pemberita di Semenyih pada Jumaat.

Aireen berkata syarikat penerbangan itu bekerjasama dengan pelbagai pihak khususnya Malaysia Airport Holdings untuk melancarkan sistem pengecaman wajah tersebut di lapangan terbang terpilih.

Katanya, AirAsia bercadang melaksanakan sistem pengecaman wajah itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan klia2 selepas diperkenal di Senai.  

Beliau berkata syarikat penerbangan itu juga merancang menggunakan sistem keselamatan itu di laluan  Kuala Lumpur-Avalon.

“Laluan Kuala Lumpur-Avalon akan menjadi laluan rentas sempadan pertama yang menggunakan teknologi pengecaman wajah. Ketibaan penumpang di Lapangan Terbang Avalon juga akan menggunakan teknologi itu,” kata Aireen. - Bernama

AirAsia, sistem pengecaman wajah

Artikel Lain