suria

Pengundian PRK Semenyih berakhir, keputusan diumum sebelum 10 malam ini

PROSES pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih bagi memilih wakil rakyat baharu berakhir pukul 5.30 petang Sabtu.

Pengundian di 24 pusat mengundi berlangsung sejak 8.00 pagi.

Setakat 4.00 petang, peratusan pemilih yang pergi mengundi ialah 68 peratus, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Seramai 53,411 pengundi biasa layak mengundi pada Sabtu dalam PRK yang diadakan susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor dari Pakatan Harapan (PH), pada 11 Januari lepas.

Pengundian awal bagi PRK itu diadakan Selasa lepas.

Pusat penjumlahan rasmi undi yang ditetapkan ialah di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang di Saujana Impian, Kajang.

SPR sebelum ini dilapor menjangkakan keputusan pengundian diumum sebelum pukul 10 malam.

PRK Semenyih menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Muhammad Aiman Zainali (PH), Zakaria Hanafi (Barisan Nasional), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng.

Ia adalah PRK keenam selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September), Parlimen Port Dickson (13 Oktober) dan Parlimen Cameron Highlands (26 Januari). - BERNAMA

PRK Semenyih, Bersatu, BN

Artikel Lain