HANYA kerana belum mendapat pekerjaan, seorang wanita berkelulusan perakaunan cedera parah di kepala, dipercayai dipukul oleh bapanya menggunakan tukul dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Tersusun Parit Sungai Melan, Kuala Kurau, dekat Parit Buntar pada Isnin. Ketua Polis Daerah Kerian Supt Omar Bakhtiar Yaacob berkata susulan itu, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 58 tahun. Polis menerima laporan daripada Hospital Parit Buntar pada 7.25 malam, memaklumkan seorang wanita berusia 24 tahun cedera parah di bahagian kepala selepas dipukul dengan tukul oleh bapanya, seorang tukang rumah, katanya kepada pemberita pada Selasa. Menurutnya berdasarkan siasatan awal, kejadian berlaku antara 5.30 dan 6.30 petang ketika si bapa baru pulang dari kerja. “Ketika kejadian, mangsa yang sedang membaca al-Quran didatangi bapanya yang secara tiba-tiba memukulnya di beberapa bahagian di kepala dengan menggunakan tukul pemecah dinding,” katanya. Menurut Omar Bakhtiar, lelaki terbabit yang kemudian menyesali perbuatannya bertindak mencederakan diri sendiri dengan menghentak kepala ke dinding, menyebabkannya menerima lima jahitan di kepala selain mengalami retak pada tulang tapak tangan kiri. Suspek ditahan semasa mendapatkan rawatan di Hospital Parit Buntar, sementara mangsa pula dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, katanya. Beliau berkata berdasarkan siasatan awal polis, suspek dikatakan marah kerana mangsa belum beroleh pekerjaan sekalipun telah menamatkan pengajian peringkat sarjana muda dalam bidang perakaunan di sebuah universiti. Kes disiasat menurut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. - BERNAMA