suria

‘Mowgli Malaysia’ tak serik… “Jatuh basikal lagi teruk daripada jatuh kerbau”

Muhammad Syukur mesra dengan kerbau-kerbau yang dianggap kawan baiknya. Foto Dallah Deen Photography

REMAJA yang diberi jolokan ‘Kampung Boy’ dan ‘Mowgli Malaysia’ tidak serik dengan insiden terjatuh dari kerbau pada pagi Sabtu.

Muhammad Syukur Khamis, 14, berkata, dia dibenarkan keluar dari wad hospital pada tengah hari Ahad dan diberikan cuti sakit selama empat hari bermula Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Mowgli Malaysia' terjatuh ketika sesi fotografi bersama kerbau, bermalam di hospital

Menurutnya, bahagian kanan kepala dan bahunya masih sakit dan doktor menasihatkan untuk berehat dan tidak melakukan aktiviti lasak buat sementara waktu.

“Saya juga dinasihatkan supaya berehat daripada naik atas kerbau. Sebelum ni setiap hari saya akan bersama kerbau-kerbau tu, jadi memang akan rindu dengan mereka.

“Tapi saya perlu berehat dulu sehingga sembuh. Kalau nak ubat rindu, dapat tengok kerbau dari jauh pun jadi lah,” katanya kepada mStar Online.

ARTIKEL BERKAITAN: Digelar ‘Mowgli Malaysia’, Syukur impi miliki zoo sendiri

Muhammad Syukur (kanan) ditemani abangnya Muhammad Syawal di Hospital Sultanah Nur Zahirah. Foto Bernama

Sudah biasa dengan lebih 100 kerbau peliharaan keluarganya, Muhammad Syukur berkata, ia merupakan kejadian pertama dia terjatuh dari haiwan itu.

Sebelum kejadian pada awal pagi Sabtu, dia belum bersarapan dan hanya sempat sempat minum secawan air Milo sebelum menjalankan sesi fotografi.

“Kali terakhir saya makan kira-kira pukul 9 malam sebelumnya, jadi mungkin tak cukup tenaga semasa saya beraksi sehingga saya terjatuh,” katanya sambil menambah akan lebih berhati-hati pada masa akan datang.

Namun bagi Muhammad Syukur, dia akan kembali menghabiskan masa dan beraksi bersama kerbau-kerbau yang disayanginya sejak kecil.

ARTIKEL BERKAITAN: Jurugambar tumpang tuah ‘Mowgli Malaysia’, ditawar slot pameran fotografi


Muhammad Syukur diberikan cuti sakit selama empat hari. Foto Bernama

Anak bongsu daripada lapan adik beradik ini menyifatkan insiden terjatuh dari kerbau itu tidak seteruk dengan pengalamannya semasa jatuh basikal pada usianya 10 tahun.

“Masa tu saya bawa basikal laju dan seluar saya tersepit di bahagian rantai menyebabkan saya terjatuh. Bagi saya, jatuh basikal tu lagi sakit daripada jatuh kerbau.

“Saya tak serik untuk bersama lagi dengan kerbau-kerbau yang merupakan kawan baik saya. Saya cuma perlu lebih bersedia dan berhati-hati selepas ini,” katanya.

Muhammad Syukur dimasukkan ke wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu, malam Sabtu ekoran muntah-muntah setelah terjatuh dari kerbau pada sebelah pagi.

Dilaporkan, insiden pada pukul 7 pagi itu berlaku ketika sesi fotografi, untuk merakamkan aksinya melompat dari belakang seekor kerbau ke seekor kerbau lain.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain