ORANG ramai diminta supaya tidak terus menularkan gambar dan video di media sosial kononnya ayam masak merah yang disajikan di Restoran Nasi Vanggey cawangan Silibin di Ipoh, sudah berulat. Pengurusnya, Azlan Shah Saiful Jaafar Sadik, 28, berkata video tersebut sengaja diada-adakan oleh individu tidak bertanggungjawab bagi tujuan mahu merosakkan reputasi perniagaannya. Katanya, pada 6 Mac lalu, seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai ‘penjaga’ di kawasan itu meminta wang perlindungan sebanyak RM300 sebulan, namun pihaknya tidak melayan permintaan tersebut. "Lelaki itu datang semula ke restoran keesokan harinya dan mendakwa ayam masak merah yang dimakannya telah berulat. Adalah mustahil seketul ayam yang dimakannya berulat sedangkan selepas diperiksa oleh pekerja, hidangan itu yang dimasak dalam kuantiti yang banyak tidak pun berulat. "Dia telah mengugut kami dengan meminta wang pampasan sejumlah RM3,000 dengan alasan dia tidak akan menyebarkan rakaman video ayam masak merah yang dimakannya sudah pun berulat," katanya pada sidang media, di Ipoh pada Isnin. Azlan Shah berkata pihaknya telah membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Senam Sabtu lepas bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu berkenaan. Menurutnya, susulan itu, pihak Jabatan Kesihatan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan polis telah datang ke restoran itu untuk melakukan penyiasatan. "Saya mengadakan sidang akhbar hari ini pun bertujuan untuk menjelaskan hal sebenar supaya orang ramai tidak salah faham sekali gus membersihkan nama restoran ini yang telah diusahakan sejak sekian lama," katanya. Satu video berdurasi 20 saat tular di media sosial termasuk di Facebook sejak Jumaat lepas yang memaparkan ayam masak merah yang dimakan oleh seorang pelanggan di sebuah restoran cawangan itu di Silibin, Ipoh berulat. - BERNAMA