MENGGUNAKAN terma Islamik serta menyamar sebagai ustaz merupakan antara taktik penipuan skim pelaburan cepat kaya, yang berjaya memperdaya orang ramai menyertai skim tersebut. Perunding Kewangan Shamsuddin Kadir berkata kebanyakan individu yang terpedaya terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk golongan profesional, berpendidikan tinggi, pesara kerajaan dan swasta serta golongan muda. "Bila mereka (syarikat skim cepat kaya) menggunakan terma Islamik, seperti menggunakan perkataan hibah, memang orang mudah terpengaruh. "Individu juga mudah percaya bila mereka kata pelaburan yang dibuat adalah untuk saham akhirat seperti bina hotel di Mekah dan menggelarkan diri mereka ustaz, sedangkan perkara itu tidak ada kesahihannya. "Modus operandi ini menyebabkan ada antara individu sanggup mengeluarkan kesemua duit simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan duit pencen mereka," katanya ketika ditemui Bernama selepas sesi Bengkel Kewangan Islam 'Bersara, Berharta dan Berjaya' anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), di ibu negara, Khamis. Shamsuddin berkata kebanyakan syarikat skim cepat kaya juga menggunakan golongan terkenal seperti artis untuk meyakinkan orang ramai membuat pelaburan. "Ada antara mereka yang menggunakan kenderaan mewah bila berjumpa orang ramai. Sedangkan kita tidak tahu kereta itu mereka sewa atau kereta orang lain. "Kebanyakan individu hanya menyedari mereka menjadi mangsa penipuan, selepas tidak mendapat kembali pulangan besar dijanjikan syarikat tersebut," katanya. Berkongsi pengalaman selama 19 tahun sebagai perunding kewangan, Shamsuddin berkata sikap tamak dan ingin cepat kaya juga merupakan antara faktor ramai individu menjadi mangsa penipuan. "Selain itu, kurang ilmu mengenai pelaburan juga menyebabkan ada individu yang menjadi mangsa. Apa yang malangnya, mereka yang ditipu ini juga terdiri daripada mereka yang berpendidikan tinggi dan berpangkat besar. "Ada antara kes yang mana seorang golongan elit hangus hingga dua juta ringgit kerana terpedaya dengan skim cepat kaya ini. Ada juga pensyarah yang tertipu, semuanya kerana kurang ilmu mengenai pelaburan," katanya. Shamsuddin berkata orang ramai seharusnya memeriksa secara terperinci mengenai latar belakang sesebuah syarikat sebelum melakukan pelaburan. "Sebenarnya ramai yang tidak tahu, hanya organisasi yang mempunyai lesen dari Bank Negara sahaja yang layak menjalankan bisnes pelaburan. Orang ramai perlu periksa dahulu sama ada organisasi itu berdaftar dengan Bank Negara atau tidak sebelum melakukan pelaburan," katanya.-- Bernama