suria

Dewan Rakyat kecoh Noh Omar enggan keluar

DEWAN Rakyat kecoh apabila  Anggota Parlimen Tanjung Karang Tan Sri Noh Omar tidak mengendahkan arahan keluar dari persidangan dewan yang diputuskan  Timbalan Yang Dipetua Dewan Rakyat Nga Kor Ming.

Timbalan Yang Dipetua Dewan Datuk Mohd Rashid Hasnon yang mempengerusikan majlis mesyuarat  ketika itu telah membacakan sekali lagi arahan tersebut selepas melihat Noh masih berada di dalam dewan, namun Noh bangun dan mempersoalkan hukuman tersebut.

Nga mengarahkan Noh keluar dari persidangan dewan itu selama tiga hari bermula hari ini (Selasa) di bawah Perkara 43 dan 44 Peraturan Mesyuarat berikutan tingkah laku Noh yang melemparkan tuduhan terhadap institusi Speaker serta mendakwanya tidak layak memegang jawatan itu pada persidangan Dewan Rakyat pada Isnin.

Beberapa Anggota Parlimen daripada Barisan Nasional termasuk Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian) dan Datuk Seri Ismail Mohamed Said (Kuala Krau)  mempertahankan tindakan Noh dengan memberi contoh kejadian yang sama berlaku apabila Anggota Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang enggan keluar apabila diarahkan pada sesi Parlimen ketika pemerintahan BN dahulu.

Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) pula bangun dengan menyebut Perkara 99 Peraturan Mesyuarat yang mengatakan Noh perlu akur kerana keputusan speaker adalah muktamad.

Noh bagaimanapun tetap berada di dalam dewan sehingga memaksa Mohd Rashid mengarahkan bentara menjalankan tugas membawanya keluar.

Bagaimanapun  Noh masih tetap berdegil dan  Mohd Rashid kemudian meminta semua anggota Parlimen supaya bertenang dan menghormati dewan dan  membenarkan Noh untuk terus berada di dalam dewan sehingga tamat sesi pagi.

Keadaan itu menyebabkan beberapa anggota Parlimen PH termasuk Khoo Poay Tiong (Kota Melaka), Chang Lih Kang (Tanjong Malim) dan RSN Rayer (Jelutong) membantah sebelum timbalan speaker itu mengumumkan persidangan sesi pagi ditangguhkan.

Ketika kekecohan itu berlangsung, Dewan Rakyat menerima kunjungan Speaker Parlimen Singapura Tan Chuan Jin serta delegasinya.-Bernama

Noh Omar, enggan, Dewan Rakyat

Artikel Lain