suria

Noh Omar diarah keluar Dewan Rakyat selama tiga hari

ANGGOTA Parlimen Tanjung Karang dari Barisan Nasional (BN) Tan Sri Noh Omar diarah keluar dari Dewan Rakyat selama tiga hari bermula Selasa.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Nga Kor Ming berkata arahan yang dikeluarkan di bawah Perkara 43 dan 44 Peraturan Mesyuarat berikutan tingkah laku Noh yang melemparkan tuduhan terhadap institusi Speaker serta mendakwanya tidak layak memegang jawatan itu pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.

“Sebagai Speaker tugas saya bukan sahaja mempengerusikan dewan ini dengan adil, saksama dan amanah. Tanggungjawab sebagai Speaker menghendaki saya menjaga, membela imej dan kewibawaan institusi Parlimen.

“Berdasarkan sikap Tanjung Karang yang tidak senonoh dan sengaja melakukan perbuatan menghina majlis mesyuarat atau tidak mengendahkan kuasa pengerusi, dengan tohmahan yang dilempar menuduh pengerusi mesyuarat tidak layak memegang jawatan adalah perbuatan menghina majlis mesyuarat atau 'an open insult to the chair'… saya dengan ini memerintah Tanjung Karang keluar dari majlis mesyuarat selama tiga hari,” katanya.

Beliau membuat keputusan itu sebelum sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Selasa.

Nga turut menyarankan Anggota Parlimen Tanjung Karang serta anggota Parlimen yang lain mengambil iktibar serta tidak mengulangi kelakuan tersebut dan menjaga tertib dalam majlis mesyuarat.

Anggota Parlimen Kuala Krau Datuk Seri Ismail Mohamed Said kemudian bangun dan memohon supaya arahan itu dibacakan ketika Noh berada di Dewan Rakyat bagi memberi peluang Anggota Parlimen Tanjung Karang itu membela diri.

Ismail mencadangkan sekiranya Noh enggan memohon maaf atas kenyataan itu, barulah arahan yang dikeluarkan Nga dikuatkuasakan.

Bagaimanapun, cadangan Ismail yang turut disokong Anggota Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan itu ditolak Nga yang menegaskan menjadi tanggungjawab semua anggota Parlimen untuk berada di dalam dewan ketika persidangan.

Setelah beberapa kali meminta Nga mempertimbangkan cadangan beliau, Ismail kemudian bangun memohon keluar dari sidang dewan ketika Nga mempengerusikan persidangan yang kemudian diikuti anggota Parlimen pembangkang yang lain.-Bernama

Noh Omar, Dewan Rakyat

Artikel Lain