suria

“Rakyat sengsara akibat pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang” Sultan Johor batal program sempena Hari Keputeraan

Sultan Ibrahim.

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menitahkan pembatalan penganjuran dua acara sempena Hari Keputeraan baginda.

Dua acara tersebut yang dibatalkan itu adalah majlis jamuan teh dan majlis jamuan negeri.

Sultan Ibrahim bertitah, keputusan itu dilakukan demi rakyat kerana sedih melihat di antara mereka yang sengsara akibat pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang. 

"Ramai yang terjejas kerana pencemaran sisa bahan kimia akibat pihak tidak bertanggungjawab, malah ada yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala sekolah juga masih ditutup. 

"Saya membatalkan dua acara ini oleh sebab tidak mahu berada di majlis yang meriah sedangkan ada rakyat yang masih menghadapi masalah dan masih menderita,” titah Sultan Johor dalam kenyataan, dikeluarkan halaman rasmi Facebook Sultan Ibrahim pada Selasa.

Majlis jamuan teh itu dijadualkan berlangsung pada 24 Mac ini manakala majlis jamuan negeri pula sepatutnya diadakan pada 25 Mac.

Baginda turut bertitah, pembatalan acara tersebut sekali gus membolehkan petugas-petugas membabitkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan termasuk pasukan keselamatan menumpukan kepada kerja-kerja pembersihan sisa kimia di Sungai Kim Kim. 

"Sebagaimana kita tahu, ramai petugas yang juga penjawat awam dan juga pasukan keselamatan serta perubatan terbabit dalam operasi pembersihan dan saya amat menghargai komitmen serta dedikasi mereka. 

"Oleh demikian, saya berasakan adalah wajar untuk membatalkan acara ini demi rakyat dan pasukan petugas yang bekerja keras tanpa mengira waktu," titah baginda. -The Star

Sultan Ibrahim, Pasir Gudang

Artikel Lain