PROSIDING inkues bagi menyiasat punca kematian Muhammad Adib Mohd Kassim menyaksikan perkembangan terbaharu, apabila seorang saksi warga Pakistan berkata anggota bomba itu jatuh selepas dihimpit van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang dinaikinya (Muhammad Adib) dan sebuah kereta. Budd Mohsin, 24, berkata mangsa jatuh terlentang selepas dihimpit pada insiden rusuhan berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, 27 November lepas.Juruteknik penghawa dingin yang bekerja di USJ selama empat tahun itu berkata beliau melihat insiden itu semasa jentera Fire Rescue Tender (FRT) mengundur dan melanggar van EMRS sebaik jentera FRT itu diserang perusuh. “Apabila FRT mengundur, van EMRS menghimpit mangsa dengan sebuah kereta. "Mangsa terjatuh dan terlentang ke arah (stesen minyak) Caltex. Kaki ke arah Caltex,” katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali, Hamdan Hamzah pada hari ke-13 prosiding inkues itu. Saksi ke-20 itu berkata dia tidak boleh cam muka anggota bomba yang terhimpit dan terjatuh itu bagaimanapun berkata beliau mengenal pasti mangsa adalah Muhammad Adib selepas mengetahuinya melalui media. Katanya beliau kemudian melihat sekumpulan orang seperti mahu menyerang Muhammad Adib. Hamdan: Apa berlaku selepas itu? Budd: Ketika kejadian, ada satu kumpulan yang macam mahu menyerang Adib. Ada orang yang cuba bantu Adib dari tempat kejadian. Ada orang mengangkat dan membawanya ke Caltex. Budd yang memberi keterangan dalam bahasa Punjabi yang diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia oleh jurubahasa berkata beliau melihat jentera FRT diikuti van EMRS tiba di lokasi rusuhan bagi memadamkan kebakaran kereta. Katanya, sebaik tiba, dua anggota turun dari FRT dan Muhammad Adib dilihat keluar dari tempat duduk penumpang van EMRS.Pada prosiding hari ini, baju t bomba yang dipakai Muhammad Adib ketika rusuhan itu dikemukakan sebagai bukti. Baju berwarna biru gelap yang mempunyai logo Jabatan Bomba dan Penyelamat dikemukakan bagi pengecaman saksi itu (Budd) dan baju itu dibungkus dalam bungkusan lutsinar serta diseal oleh Jabatan Kimia. Selain itu, video berdurasi 48 saat dimainkan bagi mendapatkan gambaran kedudukan sebenar Muhammad Adib yang dikatakan keluar dari van EMRS. Video itu dirakam oleh rakan Budd yang merupakan seorang pengawal keselamatan. Selain itu rakaman kamera litar tertutup Majlis Perbandaran Subang Jaya mengenai insiden itu turut dikemukakan sebagai bukti.Muhammad Adib yang juga anggota bomba EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, meninggal dunia selepas mengalami cedera parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu. Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung Rabu. -Bernama