suria

Khidmat doula 'berkiblatkan' keuntungan, anggap takdir jika berlaku kematian - Pakar Perunding Perubatan Kecemasan HKL

Doula di negara ini tidak bertauliah dan tidak diiktiraf oleh KKM.

WALAUPUN ada kes pelanggan meninggal dunia selepas bersalin menggunakan khidmat doula, kisah kematian itu tidak sedikit pun memberi pengajaran kepada kumpulan tidak bertauliah tersebut.

Malah saban hari, kumpulan tersebut turut dilihat semakin agresif mempromosi kursus kelahiran fitrah kepada bakal ibu di media sosial.

Menurut Pakar Perunding Perubatan Kecemasan, Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr Alzamani Mohammad Idrose, doula pada hakikatnya menawarkan perkhidmatan mereka bersandarkan keuntungan semata-mata.

ARTIKEL BERKAITAN: Kak Yat ibarat melepas batuk di tangga, minta maaf hanya selepas terima LOD - Bekas klien doula bebas

"Walaupun ada kematian, hambatan ringgit akan menyebabkan mereka meneruskan kegiatan tanpa rasa malu atau menyesal.

"Jadi bakal ibu yang terpengaruh dengan sifat lembut dan sokongan doula untuk bersalin secara alami akan terpedaya," katanya kepada mStar Online.

Doula yang mempengaruhi ibu-ibu lepas tangan dengan menggunakan kata-kata 'sudah takdir' di atas kematian pelanggan mereka.

Dr Alzamani Mohammad Idrose. 

Bukan itu sahaja, malahan Dr Alzamani mendakwa doula terbabit juga bersikap lepas tangan sekiranya berlaku kematian.

"Doula yang mempengaruhi ibu-ibu lepas tangan dengan menggunakan kata-kata 'sudah takdir' di atas kematian pelanggan mereka.

"Ingatlah, nyawa anda lebih bernilai daripada wang ringgit yang dibayar kepada mereka apabila berlaku kompikasi yang membawa kepada kematian," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada doktor Indonesia latih doula, khidmat 'peneman' jadi trend selebriti bersalin - Dr Tri

Jelas Dr Alzamani, doula turut mengaitkan amalan itu dengan agama seperti ketika Mariam melahirkan Nabi Isa.

Dr Alzamani Mohammad Idrose.

"Ada yang menggunakan kisah kelahiran Nabi Isa oleh Maryam untuk mempengaruhi bakal ibu sedangkan hakikatnya Maryam melahirkan Nabi Isa tanpa ada doula di sisinya.

"Jadi doula yang terasa 'diangkat' tiba-tiba merasa 'berkuasa' lalu memberikan arahan untuk diikuti bakal ibu," jelasnya lagi.

Susulan itu, Dr Alzamani menggesa bakal ibu supaya dapat 'menghidu' bahaya sekiranya doula memberikan nasihat mengarut seperti bersalin di rumah.

"Melahirkan anak adalah satu proses berisiko tinggi jika dilakukan di rumah. Pastikan dan rancang kelahiran di hospital.

"Fahami bahawa khidmat doula hanya bersandarkan keuntungan wang dan mereka tidak akan wujud tanpa bayaran," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: "Dia harus minta maaf" - Doktor pakar Indonesia malu dikait latih doula Malaysia

Dr Alzamani berkata tiada undang-undang spesifik yang boleh digunakan untuk menghalang doula tetapi bakal ibu sepatutnya boleh membuat keputusan terbaik bagi memastikan mereka bersalin dengan selamat.

"Masalahnya dari segi undang-undang, keputusan mahu bersalin di rumah dibuat oleh bakal ibu tersebut dan itu menjadi hak mereka.

"Jadi untuk menangani kegiatan ini daripada terus berleluasa ia bergantung kepada kewarasan bakal ibu. Saya percaya masyarakat Malaysia cukup bijak untuk membuat keputusan waras berkaitan perkara ini," katanya.

Doula terus menjadi isu panas selepas topik itu dibincangkan dalam sebuah program televisyen bulan lalu.

Memandangkan doula tidak diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Alzamani mencadangkan agar doula diwajibkan untuk dikawal sebuah badan bertauliah.

ARTIKEL BERKAITAN: Sumpah Quran di live FB, ustaz nasihat bakal ibu jangan terpedaya dengan doula!

"Ini bagi memastikan kegiatan mereka mengikut etika dan standard jika bakal ibu berkeras mahu menggunakan khidmat mereka semasa bersalin.

"Malah ia turut membolehkan doula dikenakan hukuman jika kegiatan mereka menyalahi etika dan standard perkhidmatan yang ditetapkan," katanya.

Berdasarkan tinjauan mStar Online, doula dikatakan mampu memperoleh habuan sebanyak RM500 setiap pelanggan yang mahu mengikuti kelas kelahiran ditawarkan mereka.

Perkara tersebut turut didedahkan seorang bekas klien doula bebas yang mendakwa membayar hampir RM2,000 untuk mengikut kelas kelahiran alami secara peribadi di rumah.

doula, KKM, Hayati Muzaffar

Artikel Lain