suria

Fintec Malaysia terbitkan I-Dinar, token kewangan digital berasaskan emas pertama di dunia

SEBUAH syarikat Malaysia, Ibadah Inc mendapat kelulusan kerajaan Qatar untuk menerbitkan dan melancarkan token blockchain I-Dinar, satu token kewangan digital patuh syariah bersandarkan emas yang pertama di dunia.

Bertempat di Doha Islamic Finance Conference ke-5 di Doha, Qatar pada Rabu, pelancarannya disaksikan mantan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Qatar, Sheikh Abdullah Nasir Khalifah Al-Thani, pada majlis yang diadakan sempena Persidangan Kewangan Islam Doha yang ke-5.

Menurut jurucakap Ibadah Inc, Amzar Azhar, pihaknya memulakan usaha penerbitan token digital bersandarkan emas ini sejak dua tahun lepas bersama rakan niaga dari Qatar, Investment House yang berpangkalan di Doha.

"Ia sebagai usaha untuk menyediakan alternatif patuh syariah, berasaskan emas kepada sektor kewangan digital yang sedang berkembang pesat pada ketika ini," katanya.

Melalui kerjasama dan sokongan dari pihak kerajaan Qatar juga, usahasama Malaysia-Qatar ini diberikan kelulusan untuk menubuh dan menguruskan "I-Dinar E-Exchange" iaitu sebuah penukaran stok kewangan digital untuk matawang digital, aset dan juga komoditi.

"Kerajaan Qatar telah menawarkan secara prinsip, kelulusan untuk menubuhkan sebuah bank berasaskan emas kepada entiti usahasama ini sebagai inovasi ke arah melengkapkan ekosistem digital patuh syariah yang disokong penuh oleh pihak kerajaan Qatar. Ini kerana sektor kewangan digital (Fintec) adalah inovasi baru dan merupakan masa depan sektor kewangan dunia," ujar Amzar lagi.

Persidangan dua hari ini turut dihadiri kepimpinan institusi kewangan dan bank-bank pusat negara-negara dunia Islam, termasuk delegasi dari Bank Negara Malaysia.

Antara tetamu kehormat yang turut hadir adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas kapasiti beliau sebagai Pengerusi Institut Pemikiran Islamik Antarabangsa (IIIT).

Artikel Lain