PIHAK berkuasa tidak akan menghentikan permainan berunsurkan perang buat masa ini, dengan syarat kandungan permainan tersebut di dalam peruntukan undang-undang, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Ditanya sama ada pihak berkuasa mempertimbangkan langkah tersebut berikutan unsur keganasan di dalam permainan seumpamanya, pengerusinya, Al-Ishsal Ishak berkata; "Jawapan ringkas saya adalah tidak. Kita tidak memantau atau menghentikan permainan berasaskan perang buat masa ini selagi kandungannya di dalam peruntukan undang-undang. "Tetapi jika kandungannya tiada dalam peruntukan undang-undang, kita jelas mempunyai keupayaan untuk mengambil tindakan," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai siasatan jenayah komersial Bukit Aman pada Rabu. Permainan video dalam talian seperti Battleground PlayerUnknown (PUBG) menarik perhatian netizen, kerana dikatakan menyamai serangan bersenjata di dua masjid di Christchurch di New Zealand pada Jumaat lalu, mengorbankan 50 orang. Gujarat merupakan satu-satunya negeri di India mengharamkan PUBG selepas ia mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa yang menyifatkan permainan video itu memberi pengaruh buruk kerana elemen keganasannya. Menurut laporan media, permainan tersebut dimuat turun oleh lebih 100 juta pengguna di seluruh dunia. - The Star