suria

“Pemergian Haziq pada Jumaat mulia, sedia untuk beribadah, semoga syahid di sisi Allah” - Mufti WP

Allahyarham Mohd Haziq Mohd Tarmizi.

JENAZAH Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17, yang maut dalam serangan melibatkan dua masjid di Christchurch di New Zealand pada Jumaat lalu, selamat dikebumikan selepas Zohor waktu New Zealand pada Khamis.

Allahyarham dikebumikan di Memorial Park Cemetery Bromley di Linwood, Christchurch selepas disahkan meninggal dunia setelah hampir seminggu kehilangannya.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pencarian Allahyarham Mohd Haziq yang sebelum ini dilaporkan hilang akhirnya terjawab.

ARTIKEL BERKAITAN: “Jenazah Haziq berseri-seri, tersenyum, seperti sedang tidur” – Ibu saudara mangsa serangan NZ

ARTIKEL BERKAITAN: Serangan masjid NZ: Pengebumian mangsa terkorban termasuk Haziq diteruskan hari ini

ARTIKEL BERKAITAN: Serangan NZ: Mohd Haziq disahkan meninggal dunia

"Pencarian yang akhirnya menemui jawapan. Berehatlah dengan tenang, anakanda Haziq. Umat Islam seluruh dunia mendoakanmu. 

"Kami mengucapkan takziah kepada keluarga almarhum Mohd Haziq atas pemergian insan yang tercinta," katanya menerusi perkongsian di akaun Instagram miliknya, malam Khamis.

Zulkifli berkata, dengan izin Allah SWT pemergian Mohd Haziq dikurniakan dengan ganjaran yang besar.

"Pemergian Mohd Haziq pada hari Jumaat yang mulia, di dalam masjid dalam keadaan bersedia untuk menunaikan ibadah. Kami mendoakan semoga beliau mendapat syahid di sisi Allah SWT. 

"Kami menyeru semua masjid dan Surau Diri Jumaat dalam Wilayah Persekutuan untuk bersama-sama menunaikan solat jenazah ghaib untuk semua mangsa tragedi di Christchurch," ujarnya.

Mohd Haziq merupakan antara 50 mangsa yang terkorban selepas tragedi serangan pengganas yang berlaku di Masjid Al-Noor di Deans Ave pada Jumaat lalu.

Allahyarham merupakan anak kedua Mohd Tarmizi Shuib, 42 tahun, rakyat Malaysia yang parah dalam serangan di Masjid Al Noor.

Ketika kejadian, Mohd Tarmizi bersama dua anaknya, Mohd Haris, 12 tahun dan Mohd Haziq hadir untuk menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.

Mohd Tarmizi cedera parah akibat terkena tembakan dan telah dibenarkan pulang dari hospital selepas menjalani pembedahan. 

Mohd Haris tidak mengalami sebarang kecederaan namun dilaporkan trauma akibat tragedi tersebut.

Artikel Lain