SEORANG wanita ditahan kerana didakwa mencederakan kekasih gelap suaminya dengan sebilah pisau selepas mereka selesai melakukan hubungan seks bersama. Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata wanita berusia 46 tahun itu yang bekerja sebagai pelayan di sebuah kedai kopi ditahan sejurus selepas insiden tersebut. Mangsa dihantar ke hospital kerana keadaannya kritikal selepas kehilangan banyak darah akibat ditikam dibahagian kemaluannya. Selepas dirawat, mangsa berusia 34 tahun yang juga seorang tukang cuci, dilaporkan berada dalam keadaan stabil. Menurut Stanley, dalam insiden kira-kira pukul 9 malam Ahad itu, lelaki berusia 28 tahun bersetuju menjemput teman wanitanya ke rumah sewa mereka di Jalan Lajong, Sibu untuk berbincang mengenai hubungan cinta tiga segi mereka. "Suspek berjanji tidak melakukan apa-apa. Ketika mangsa tiba di rumah sewa itu, ketiga-tiga mereka berborak dalam keadaan gembira. "Lelaki itu kemudian minum alkohol manakala dua wanita itu pula sekadar minum minuman ringan. "Ketiga-tiga mereka kemudian bersetuju untuk melakukan seks bersama," katanya. Selepas lelaki itu melakukan hubungan seks dengan isterinya, suspek memberitahu dia mahu pergi ke tandas. "Lelaki itu kemudian meneruskan hubungan seks dengan mangsa ketika suspek datang ke dalam bilik dengan membawa sebilah pisau lalu menikam mangsa," katanya. Stanley berkata lelaki itu bergegas keluar dari rumah mereka dan memberitahu adiknya yang turut menyewa di bilik lain di dalam rumah itu untuk mengejar suspek. Suspek kemudian berjaya ditangkap dan diserahkan kepada polis. Jelas Stanley, pasangan tersebut berkahwin mengikut adat tradisi dan sudah tinggal bersama selama tujuh tahun. Teman wanita lelaki itu turut sudah berkahwin dan mempunyai empat anak. Suaminya bekerja di kem pembalakan di Kepulauan Solomon. Kes disiasat dibawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah dengan senjata berbahaya.