suria

Inkues Adib: “Saya minta maaf, saya ikut emosi” – Cik Miera

Siti Shafikah Amira Mohd Rasani yang merupakan pengguna Facebook Cik Miera. Foto Bernama

"SAYA terlalu ikut emosi tanpa ketahui fakta sebenar kejadian," kata jururawat Institut Jantung Negara (IJN), pemilik akaun Facebook dengan nama Cik Miera, yang memuat komen di laman sosial itu mengenai kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Siti Syafika Amira Mohd Rasani, 27,  yang berkhidmat di bilik pembedahan IJN selama enam tahun berkata, dia memuat naik komen kontroversi itu pada 22 Mac lepas tanpa mengetahui fakta sebenar.

"Saya emosi buat kenyataan ini kerana semasa Adib di sana (IJN) saya lihat keluarganya menangis.  Saya juga nampak pihak bomba tidur luar Unit Rawatan Rapi (ICU) IJN setiap hari atas kerusi menunggu. Saya rasa dalam keadaan kekeluargaan," katanya ketika menjawab soalan pegawai pengendali inkues, Zafran Rahim Hamzah semasa prosiding inkues bagi menyiasat kematian Muhammad Adib di Mahkamah Koroner pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Inkues Adib: "Saya dicaci maki dan dianggap berbohong" - Pakar forensik

Siti Syafika Amira dalam catatannya dalam Facebook sebelum ini menyatakan pendapatnya bahawa kematian anggota bomba itu bukan disebabkan oleh kemalangan tetapi oleh serangan ganas, bagaimanapun komen itu kemudiannya dipadamkan.

Beliau yang merupakan saksi ke-25 turut memohon maaf kepada doktor yang dirujuk dalam kenyataannya itu.

"Kepada doktor saya tujukan, saya minta maaf, saya ikut emosi tanpa memikirkan fakta sebenar kejadian," katanya.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lepas di IJN.

Prosiding inkues di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung 2.30 petang Rabu. - Bernama

Cik Miera, Muhammad Adib

Artikel Lain