suria

Dua remaja dituduh bunuh CEO Cradle Fund dibenar ikat jamin

Allahyarham Nazrin Hassan.

MAHKAMAH Tinggi di Shah Alam membenarkan dua remaja lelaki yang didakwa membunuh Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan, diikat jamin dengan RM50,000 seorang.

Hakim, Ab Karim Ab Rahman membenarkan permohonan yang difailkan oleh bapa kandung kedua-dua remaja terbabit, atas dasar bahawa berdasarkan umur dan latar belakang mereka, mahkamah percaya remaja berkenaan tidak akan melarikan diri.

"Anggapan tidak bersalah mesti berada di pihak mereka," katanya pada Rabu.

Hakim turut memerintahkan lapan syarat yang perlu dipenuhi oleh kedua-dua remaja itu, termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan kepada balai polis terdekat setiap minggu, elak berada di tempat awam dengan pengeculian di atas sebab pembelajaran dan keagamaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Jamil Aripin melakukan pendakwaan, manakala peguam, Hisyam Teh Poh Teik mewakili dua remaja itu.

Awal bulan ini, balu Nazrin, Samirah Muzaffar, 44, dan dua remaja, berusia 13 dan 16 tahun, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang dibacakan bersama dengan Seksyen 34 Akta yang sama.

Mereka didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari, didakwa dengan niat bersama telah membunuh Nazrin, 47 tahun, di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, antara pukul 11.30 malam, 13 Jun 2018 hingga 4 pagi, 14 Jun 2018.

Mayat Nazrin ditemui dengan 30 peratus kesan lecur pada badannya.

Polis mengklasifikasi semula kes itu sebagai bunuh berikutan siasatan forensik oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat. - The Star

Nazrin Hassan, Cradle Fund

Artikel Lain