suria

Empat penjuru di PRK Rantau

Calon-calon yang disahkan bertanding bagi PRK Rantau (dari kiri) Datuk Seri Mohamad Hasan (BN), Dr S. Streram (PH), Mohd Nor Yassin (Bebas) dan R. Malarvizhi (Bebas) pada pengumuman calon di pusat penamaan calon di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan, Sabtu. Foto Bernama

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang bermula Sabtu menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan dua calon bebas.

Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, Dr S. Streram yang dipertaruhkan untuk mewakili PH akan dicabar Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mewakili BN dan dua lagi calon bebas.

Calon bebas berkenaan ialah R. Malarvizhi dan Mohd Nor Yassin.

Terdahulu, pusat penamaan calon di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan di Seremban dibuka pada pukul 9 pagi dan proses mengemukakan borang pencalonan berjalan selama satu jam.

Mohamad merupakan calon pertama menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.05 pagi, diikuti Malarvizhi (9.07 pagi) manakala Mohd Nor dan Streram pada pukul 9.08 pagi.

Terdahulu, Streram yang mengenakan kot hitam hadir diiringi Presiden PH yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Naib Pengerusi DAP, M. Kula Segaran.

Mohamad pula diiringi beberapa pimpinan parti termasuk anggota Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Proses penamaan calon menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad Hasan yang juga penyandang DUN Rantau selama tiga penggal sejak 2004 untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum ke-14, terbatal dan tidak sah.

SPR menetapkan tempoh kempen selama 14 hari bermula hari ini dengan tarikh mengundi pada 13 April manakala 9 April ditetapkan sebagai hari pengundian awal.

DUN Rantau mempunyai seramai 20,926 orang pemilih berdaftar terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, 118 pengundi awal dan empat orang pengundi tidak hadir luar negara.

Daripada jumlah tersebut, 55.11 peratus atau 11,283 adalah pengundi Melayu, Cina (18.80 peratus atau 3,849), India (26.06 peratus atau 5,336) dan lain-lain (0.02 peratus atau empat). 

PRK DUN Rantau merupakan PRK ketujuh selepas PRU14 pada Mei 2018, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt) dan Parlimen Cameron Highlands (26 Jan) serta DUN Semenyih (2 Mac). - Bernama

PRK, Rantau

Artikel Lain